Pegawai AKPS maut: Suami berdepan pertuduhan bunuh

Iklan
Mohd Khairudin didakwa atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai AKPS di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA. Foto Bernama

SEREMBAN - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 15 Oktober lepas.

Mohd Khairudin Safi’ai, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairudin didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, di sebuah rumah di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira 7 petang, 15 Oktober lepas.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat. - Bernama