KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan pelancong mesti sentiasa menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi dalam usaha memperkukuh industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Beliau berkata, industri pelancongan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara, namun kejayaannya tidak boleh dinilai berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata.
“Beberapa kemalangan yang berlaku tahun lalu telah memberi kesan terhadap imej negara. Pelancong yang berkunjung ke Malaysia seharusnya menikmati pengalaman yang selamat dan menyenangkan, bukan pulang dengan rasa bimbang.
“Kita perlu berani berdepan dengan isu yang ada, mempertingkatkan standard dan tidak sesekali berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya dala satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memuat naik gambar ketika menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara jenama kenderaan komersial tempatan, CAM, dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), semalam.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan penaiktarafan kenderaan pelancongan yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah sesuatu yang menggalakkan dan diharap dapat membantu meningkatkan standard industri.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaraskan urusan kelulusan lesen serta pengurusan bas pelancongan di bawah satu kementerian.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh mekanisme pemantauan, meningkatkan kecekapan tadbir urus dan memastikan tahap keselamatan yang konsisten,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sedang meneliti cadangan untuk memperketat piawaian prestasi kenderaan serta menetapkan tempoh penggunaan bas pelancongan.
“Sesetengah bas bersaiz besar tidak memenuhi aspek keupayaan ketika melalui jalan berbukit, selain isu beban bagasi berlebihan dan penggunaan enjin lama yang boleh meningkatkan potensi kemalangan.
“Pada masa hadapan, pengusaha mungkin diwajibkan menggantikan kenderaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa berada pada standard terbaik,” katanya.
Menurutnya, kerajaan memahami tekanan kos yang ditanggung pengusaha dan sedang meneliti beberapa bentuk bantuan termasuk pelepasan cukai, kemudahan jaminan bank serta sokongan pembiayaan bagi pembelian bas pelancongan baharu.
“Perkara ini berada pada peringkat akhir perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan memandang serius isu pelanggaran kontrak dan ketidakpatuhan pelaksanaan pakej pelancongan yang boleh menjejaskan reputasi negara.
“Bagi memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara, pengusaha mungkin diwajibkan menyediakan jaminan bank. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan boleh ditarik balik lesen dan disenaraihitamkan,” katanya.