KUANTAN – Teruja untuk meraih keuntungan lebih besar, seorang perunding hartanah sambilan sanggup melabur semula kesemua RM140,889 hasil pulangan awal atas nasihat ejen satu skim pelaburan yang disertainya.
Namun, tindakan lelaki warga emas berusia 71 tahun itu membawa padah apabila skim pelaburan tersebut rupa-rupanya tidak wujud menyebabkan dia menanggung kerugian melebihi RM622,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diarahkan suspek untuk menambah modal pelaburan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan pengeluaran keseluruhan wang keuntungan.
Menurutnya, mangsa dipercayai dihubungi suspek pada 16 Oktober tahun lalu menerusi aplikasi WhatsApp, yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan keuntungan sebanyak 50 peratus bagi setiap pelaburan.
“Lelaki warga emas itu kemudiannya ditawarkan untuk menyertai pelaburan ‘JMC M Trading Venture’ melalui satu aplikasi yang diberikan oleh suspek.
“Dalam tempoh 27 Oktober hingga 27 Disember tahun lalu, mangsa telah membuat sebanyak 16 transaksi pembayaran melalui empat akaun bank, melibatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM622,161 yang diambil daripada wang simpanan peribadinya,” katanya.
Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berhampiran sebelum menyertai sebarang pelaburan, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Sekiranya menyedari menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.