NeHDA gesa MOT kaji semula dasar, penguatkuasaan e-hailing

Iklan
NeHDA gesa MOT kaji semula dasar serta penguatkuasaan yang didakwa membebankan serta tidak selari dengan realiti operasi di lapangan.Gambar kecil: Zabidi Bahador

SUNGAI PETANI - Persatuan Pemandu e-Hailing Utara (NeHDA) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengkaji semula dasar serta penguatkuasaan yang didakwa membebankan serta tidak selari dengan realiti operasi di lapangan.

Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, pelbagai kekeliruan berlaku termasuk tindakan dikenakan terhadap pemandu yang tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), permit kenderaan e-hailing (EVP) dan insurans e-hailing walaupun tidak membawa penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pemandu benar-benar melanggar undang-undang atau peruntukan sedia ada terlalu kabur dan terbuka kepada tafsiran berbeza.

“Isu tambang juga perlu diberi perhatian apabila ketiadaan kadar lantai dan siling menyebabkan harga tidak menentu, sekali gus memberi kesan kepada pemandu dan penumpang. Struktur tambang yang adil dan telus amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Zabidi berkata, pemandu turut dibebani dengan kos insurans bertindih apabila perlu membayar insurans kenderaan persendirian dan insurans e-hailing secara berasingan, sedangkan perlindungan tersebut sepatutnya boleh digabungkan dalam satu polisi yang lebih praktikal.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan sistem data dan koordinasi antara agensi berkaitan, termasuk kegagalan menyalurkan bantuan kerajaan secara terus kepada pemandu e-hailing susulan ketiadaan pangkalan data bersepadu.

Iklan

“Selain itu, proses pembaharuan EVP dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang mengambil masa berminggu-minggu menjejaskan pendapatan pemandu.

"Dalam era digital, sistem ini seharusnya lebih cekap dan mesra pengguna,” katanya.

Menurutnya, aspek tanggungjawab syarikat e-hailing juga perlu diperhalusi apabila pemandu dikenakan tindakan, namun syarikat masih membenarkan mereka beroperasi di platform masing-masing.

“Kami tidak menolak penguatkuasaan, tetapi menuntut keadilan, ketelusan dan sistem yang berfungsi untuk semua pihak.

"Undang-undang e-hailing hari ini perlu disemak semula supaya tidak terus menekan pemandu yang menjadi tulang belakang industri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, NeHDA menyeru agar satu sesi libat urus inklusif melibatkan MOT, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta syarikat e-hailing diadakan dalam masa terdekat bagi merangka dasar yang lebih adil dan mampan.