SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Isu kedudukan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin termasuk dakwaan pemecatan beliau tidak dibincangkan dalam mesyuarat tertutup parti itu pada malam ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh beberapa pemimpin Bersatu ketika ditemui pada mesyuarat tersebut, sekali gus mendakwa ia hanyalah agenda sesetengah pihak.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan terdapat khabar angin bahawa Timbalan Presiden Bersatu , Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dipecat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menghormati keputusan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
"MPT akan mempertahankan keputusan yang telah dibuat atas dasar prinsip dan tanggungjawab," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu beliau berkata, MPT juga membincangkan secara mendalam tentang hala tuju PN menjelang persiapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.
"MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN.
"Kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,
Tambah beliau, MPT menyambut baik nasihat presiden supaya ahli-ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati.
"Selain itu, bijak menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti," ulasnya.