50 sangkar ikan terjejas akibat 'selut timbul'

Iklan
Penternak di Kampung Pantai Ali di sini terjejas akibat fenomena 'selut timbul' yang didakwa semakin serius. Gambar kecil: Zakaria (kiri) Mohamad Na'iman (kanan).

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 50 sangkar ikan milik penternak di Kampung Pantai Ali di sini terjejas akibat fenomena 'selut timbul' yang didakwa semakin serius dan berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penternak, Mohamad Na'iman Mohd Abdullah, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan ternakan ikan terganggu sehingga memaksa ikan dipindahkan ke sangkar lain bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Iklan
Iklan

“Keadaan ini bukan baharu, sudah tiga hingga empat tahun berlaku, tapi kali ini lebih teruk.

"Selut timbul menyebabkan air keruh dan menjejaskan pergerakan ikan dalam sangkar," katanya ketika ditemui di kawasan ternakan ikan di sini pada Isnin.

Iklan

Keadaan sungai yang cetek serta fenomena selut timbul menyebabkan sangkar ikan terjejas sekali gus mengganggu proses ternakan ikan air tawar di Kampung Pantai Ali.

Menurutnya, terdapat kira-kira 250 buah sangkar ikan di kawasan berkenaan dengan lapan daripada peserta terjejas akibat fenomena tersebut.

Iklan

Setakat ini, katanya belum ada tindakan yang diambil pihak berkaitan bagi memastikan keadaan sungai tersebut kembali pulih seperti sediakala.

"Sebelum ini ada dengar ada pihak yang nak datang sedut selut, tetapi sampai sekarang belum nampak apa-apa perkembangan," katanya.

Menurut Na'iman, majoriti ikan yang diternak ialah ikan tilapia merangkumi kira-kira 85 peratus, selain ikan baung sekitar lima hingga enam peratus serta ikan keli.

Katanya, tempoh penuaian ikan bergantung kepada saiz benih, namun kebiasaannya mengambil masa enam hingga tujuh bulan sebelum boleh dituai sepenuhnya.

"Kalau benih lebih besar, empat hingga lima bulan sudah boleh keluarkan hasil. Tetapi dengan keadaan selut timbul yang berterusan, proses ternakan menjadi sukar," ujar beliau.

Sementara itu, Penasihat merangkap Bendahari Kelompok Ternakan Ikan Sangkar Kampung Pantai Ali, Zakaria Ismail, 69 berkata, aktiviti ternakan ikan sangkar di kawasan itu telah bermula sejak tahun 2000 dan menjadi sumber pendapatan utama penduduk setempat.

Beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keadaan di situ dapat dipulihkan sekali gus membantu meningkatkan lagi hasil pengeluaran ikan air tawar untuk bekalan pasaran tempatan.

"Kita diberitahu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bercadang melakukan kerja penyedutan selut di kawasan Beladau dan juga di lokasi terjejas, tapi setakat ini belum ada sebarang tindakan dilaksanakan.

"Jadi kita berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah selut timbul supaya industri ternakan ikan sangkar di kawasan ni tidak terjejas dalam jangka masa panjang," katanya.