KUALA LUMPUR - Seramai sembilan individu cedera dalam kejadian letupan di kawasan penyelenggaraan sistem penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.40 pagi.
"Mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor serta warga asing yang bekerja sebagai penjaga kafeteria di universiti berkenaan," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Fadil berkata, daripada sembilan mangsa, empat adalah pelajar, dua pekerja kontraktor dari luar yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan, seorang kakitangan pengurusan dan dua lagi warga asing yang bekerja menjaga premis kafeteria tersebut.
"Ada mangsa mengalami kecederaan parah manakala selebihnya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa telah dihantar ke beberapa hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawadi tingkat empat berhampiran kafeteria bangunan berkenaan yang ketika itu belum dipenuhi ramai pelajar kerana sesi pembelajaran belum bermula sepenuhnya.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini melibatkan dua individu teknikal yang berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembaikan dan penyelenggaraan.
“Akibat letupan itu, ada mangsa mengalami kecederaan melecur dan terkena serpihan, termasuk runtuhan dinding konkrit di kawasan terbabit,” ujarnya.
Bagaimanapun, Fadil menegaskan punca sebenar letupan masih dalam siasatan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikenal pasti.
“Pasukan bomba dan penyelamat telah menjalankan pemeriksaan keselamatan dan mengesahkan kawasan tersebut selamat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.