12 tahun guna kad pengenalan orang lain, lelaki Indonesia dipenjara tiga bulan

Iklan
Tertuduh mengaku bersalah menggunakan salinan kad pengenalan orang lain sejak 12 tahun lalu.

MELAKA - Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain sejak 12 tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Adi, 47, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin sejurus pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didapati tanpa kuasa yang sah atau sebab munasabah, menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun.

Tertuduh juga didapati menggunakan salinan kad pengenalan tersebut untuk mendapatkan lesen beca daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada tahun 2023 selain menggunakannya bagi memperoleh kad Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 12 tengah hari pada Khamis lalu.

Pendakwaan dibuat di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan masih menanggung isteri serta anak-anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Melaka, Mohd Nasrom Mohd Yusof memohon hukuman setimpal kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh tangkap.