PUTRAJAYA – Pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara dalam memastikan pembinaan generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung kepada dasar serta peruntukan kerajaan, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Menurutnya, hubungan erat antara semua pihak penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
"Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan," katanya menerusi hantaran di lamam Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Anwar dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sg Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) selain menyantuni pelajar yang memulakan sesi persekolahan pada hari pertama.
"Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.
"Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri," katanya.