SHAH ALAM – Semua pemimpin dalam Pas mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan penting, termasuk jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, barisan kepimpinan sedia ada dalam parti itu terdiri daripada individu yang berwibawa dan berkeupayaan menerajui blok pembangkang pada masa depan.
“Pada saya, dalam Pas semua layak. Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan (pemimpin lain) dalam Pas ini semua layak untuk menjadi pemimpin di PN.
“Yang penting keputusan parti itu paling utama. Siapa yang parti putuskan, kita ikut dan taat, tak kira siapa,” katanya menerusi satu rakaman video.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mungkin dicalonkan sebagai Pengerusi PN menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas mengenai senarai nama yang disebut-sebut, beliau menegaskan bahawa Pas tidak berdepan masalah kerana memiliki ramai tokoh berpotensi.
“Pada saya, Dr Sam (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ke... orang cakap timbul itu, Dr Sam lah kan. Kadang mungkin naik nama orang lain, kita tidak tahu.
“Mungkin Ustaz Derih (Datuk Idris Ahmad), mungkin juga Datuk Nik Amar (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah), mungkin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mungkin Tan Sri Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) pun boleh naik. Tak ada masalah. Dalam Pas ini, Insya-ALLAH semua pemimpin sedia ada adalah layak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ahli parti akan tetap menyokong sesiapa sahaja yang dipilih melalui proses kepimpinan dalaman Pas.
“Pada saya, sebagai ahli Pas, kita akan taat dan patuh kepada siapa yang telah dipilih oleh pimpinan Pas Pusat dan AJK Pas Pusat, dan seluruh rakyat Malaysia akan memerhati,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yakin Pas memiliki kepimpinan berkualiti untuk meneruskan agenda parti serta blok PN pada masa hadapan.
“Pas mempunyai kualiti kepimpinan yang terbaik. Dan pada saya, siapa yang dipilih oleh Pas, itulah pemimpin yang terbaik untuk masa depan,” katanya.
Teka-teki mengenai siapa yang akan menjawat jawatan Pengerusi PN masih menjadi tanda tanya selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.