SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan awal berhubung perkara itu sedang dikumpulkan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Beri kami sedikit masa kerana seperti yang saya katakan, kita sedang mengkaji dan mandat itu telah pun saya serahkan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
“Di peringkat KPM, kita sudah mempunyai pandangan-pandangan awal dan kita akan membuat kajian menyeluruh sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan selanjutnya. Jadi, beri kami masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Pada Jumaat lepas, Sinar Harian melaporkan KPM sedang mengkaji pelaksanaan semula peperiksaan UPSR dan PT3 susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa, dengan sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.
Fadhlina berkata, penilaian semula itu penting bagi memastikan pentaksiran yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan murid dan selari dengan kehendak semasa ibu bapa.
“Ini pentaksiran yang telah pun kita laksanakan sekian lama. Ada kesannya kerana ia menumpukan kepada pentaksiran secara holistik.
“Apa yang ingin kita kaji ialah berdasarkan pandangan yang diterima – maknanya permintaan ibu bapa – dan kita ingin menilai semula dengan apa yang telah pun kita laksanakan ketika ini,” katanya lagi.
Ujar beliau, KPM komited memastikan sebarang pindaan terhadap sistem pentaksiran dibuat secara teratur dan berdasarkan dapatan kajian.
“Sebab itu saya sebut tadi, beri kami sedikit masa dan kami akan memberikan penjelasan kepada masyarakat selepas kajian dilaksanakan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.
Mengulas tempoh masa yang diperlukan, beliau menjangkakan proses tersebut dapat diselesaikan dalam tahun ini.
“Saya jangka tahun ini juga. Kita laksanakan tahun ini juga kajian tersebut dan kita akan bentangkan secepat mungkin,” ujarnya.
Untuk rekod, UPSR telah dimansuhkan pada tahun 2021 diikuti PT3 pada tahun 2022 bagi memberi tumpuan kepada pentaksiran holistik melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).