Tujuh sekolah terjejas bencana, 908 murid tak hadir hari pertama sekolah di Sabah

Iklan
Raisin bersama pelajar semasa melawat hari pertama sesi persekolahan SMK Trus Madi di Keningau.

KOTA KINABALU - Seramai 908 murid di Sabah tidak dapat memulakan sesi persekolahan tahun 2026 yang bermula Isnin, susulan tujuh sekolah terjejas akibat banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah itu melibatkan murid daripada lima sekolah yang masih terkesan banjir di daerah Beaufort, manakala dua lagi sekolah terjejas akibat kejadian tanah runtuh serta menjalani kerja pembersihan.

Iklan
Iklan

"Selain lima sekolah yang dimaklumkan sebelum ini di Beaufort, dua lagi sekolah yang tidak dapat memulakan sesi persekolahan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Tenom berikutan kejadian tanah runtuh di dalam kawasan sekolah.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan arahan supaya warga sekolah mengosongkan premis buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Iklan

"Sementara itu, walaupun banjir telah surut di SK Rampayan Manggatal, Kota Kinabalu, namun sekolah itu terpaksa ditutup hari ini dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memberi ruang kepada aktiviti gotong-royong pembersihan serta penggantian perabot yang rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, Isnin.

Sehubungan itu, Raisin berkata, murid yang terkesan akibat penutupan sekolah akan mengikuti PdPR atau kelas ganti, bergantung kepada kesesuaian dan kesiapsiagaan pihak sekolah masing-masing.

Iklan

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah komited memastikan pembelajaran murid terus berjalan dengan menyediakan dua pilihan utama, sama ada PdPR atau kelas ganti pada hari Sabtu bagi sekolah yang terjejas banjir," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Raisin turut mengadakan lawatan ke sebuah sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trus Madi, Keningau yang mula beroperasi secara rasmi pada Isnin.

Sementara itu, seramai 490,314 murid dan pelajar di seluruh Sabah memulakan sesi persekolahan bagi tahun ini, melibatkan 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 43,385 murid Tahun Satu dan 44,851 pelajar Tingkatan Satu turut memulakan sesi persekolahan masing-masing.