54 bekas murid MGPS diiringi ke Tingkatan Satu di MGSS

Iklan
Seramai 54 bekas murid tahun enam di MGPS menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah di MGSS di sini.

KUANTAN – Tradisi mengiringi 54 bekas murid Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (MGPS) ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist (MGSS) diteruskan sebagai simbol kesinambungan pendidikan dan legasi Methodist.

Program Mengirim Kasih itu menyaksikan kesemua mereka diraikan dalam suasana penuh kemeriahan selepas menempuh fasa baharu alam persekolahan menengah.

Iklan
Iklan

Guru Besar MGPS, Masniza Kamarudin berkata, program berkenaan diadakan setiap tahun menjelang pembukaan sesi persekolahan bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan peralihan daripada alam sekolah rendah ke sekolah menengah.

Sebahagian pelajar yang memasuki pekarangan MGSS selepas tamat Tahun Enam di MGPS

Iklan

Menurutnya, walaupun dilaksanakan secara ringkas, program ini tetap sangat bermakna kerana membantu membina hubungan rapat antara sekolah rendah dan sekolah menengah yang menerima pelajar dari sekolah berkenaan.

“Jadi, ia bukan sekadar perarakan, sebaliknya simbol penyerahan tanggungjawab mendidik murid kepada pihak sekolah menengah untuk meneruskan legasi kecemerlangan anak-anak Methodist,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan MGSS di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama pada program itu ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Khairul Anwar Ahmad Nadzer.

Masniza (tengah) dan Khairul Anwar (kanan) berjalan mengiringi 54 bekas murid MGPS ke Tingkatan Satu di MGSS pada Program Mengirim Kasih

Sementara itu, Pengetua MGSS, Josephine Hezrin Azhar berkata, pendekatan berkenaan memudahkan proses transisi pelajar kerana mereka diiringi guru dan warga sekolah yang sudah dikenali.

Jelasnya, ini sekali gus mengurangkan kebimbangan pada hari pertama persekolahan menengah.

“Hubungan MGPS dan MGSS bukan hanya melalui program ini sahaja, malah merangkumi pelbagai aktiviti usahasama termasuk sambutan perayaan.

“Kami juga berkongsi lembaga pengurusan yang sama, sekali gus memudahkan penyelarasan urusan pentadbiran dan pendidikan,” ujarnya.

Guru MGPS dan MGSS merakam kenangan selepas menerima 54 bekas pelajar sekolah itu pada Program Mengirim Kasih.

Beliau memaklumkan, seramai 124 pelajar Tingkatan Satu mendaftar di MGSS tahun ini, dengan 54 daripadanya merupakan bekas murid MGPS.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang murid, Nur Salina Amaniloot Abdullah, 44, berkata, beliau berasa terharu melihat anaknya diraikan pada pagi tersebut.

Menurutnya, program Mengirim Kasih memberi kelegaan kepada ibu bapa dan menjadi suntikan semangat awal untuk anak-anak menyesuaikan diri dengan alam persekolahan menengah.

“Rasa sebak dan bangga bila tengok anak sudah besar dan melangkah ke MGSS. Walaupun bukan sekolah berasrama, disiplin di sini memang saya yakin.

“Sambutan pagi ini buatkan saya rasa anak dihargai dan berada di tempat yang betul,” katanya.