Tak tunai janji belikan motosikal, anak tikam bapa sampai mati

Iklan
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.-Agensi

BULUKUMBA – Seorang lelaki maut selepas ditikam anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian tragis di Dusun Kurasa, Desa Palambarae, Kecamatan Gantarang, Kabupaten Bulukumba, Sulawesi Selatan pada malam Jumaat lalu.

Mangsa, Abdullah, 40, disahkan meninggal dunia akibat beberapa tikaman yang dipercayai dilakukan oleh anak lelakinya, Wijaya, 19, di kediaman mereka kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berpunca daripada pertengkaran antara bapa dan anak berkenaan isu janji pembelian sebuah motosikal yang tidak ditunaikan.

Pergaduhan yang bermula secara lisan di bahagian dapur rumah berakhir dengan tragedi berdarah.

Iklan

Ketua Unit Perhubungan Awam Polis Bulukumba, AKP Marala mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran apabila suspek menuntut janji pembelian motosikal.

Iklan

"Mangsa dikatakan kembali memberi janji tanpa kepastian menyebabkan suspek hilang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Suspek didakwa menikam mangsa menggunakan senjata tajam pada bahagian belakang kiri tubuh mangsa.

Abdullah rebah akibat pendarahan teruk sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.

Penduduk setempat yang menyedari kejadian itu segera menghubungi pihak polis dan memberikan bantuan awal.

Suspek pula tidak melawan ketika ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut sebagai bahan bukti.

Kes berkenaan disiasat mengikut Undang-Undang Jenayah Indonesia (KUHP) baharu, termasuk peruntukan berkaitan kesalahan pembunuhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, bergantung kepada hasil siasatan dan pendakwaan.

Pihak polis menegaskan, siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan faktor yang menyumbang kepada kejadian tragis itu, termasuk pengaruh alkohol dan latar belakang hubungan keluarga berkenaan. - Agensi