Nada tiga sayap UMNO teras usul PAU, penentu strategi hadapi PRU16 - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad

PONTIAN – Usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menjadi penentu kepada strategi dan hala tuju parti, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul berkenaan dirangka dengan mengambil kira pandangan serta nada yang dibawa oleh tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, sebelum dimuktamadkan di peringkat MKT.

Iklan
Iklan

"PAU yang menghimpunkan 191 UMNO Bahagian akan berlangsung dari Rabu hingga Sabtu ini. Mesyuarat MKT khas akan diadakan pada malam Khamis bagi membincangkan dan meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO.

"Usul itu digubal berdasarkan intipati yang diperoleh daripada ketiga-tiga sayap dan akan dibentangkan pada Jumaat dan Sabtu, sebelum dijangka diluluskan oleh MKT," katanya.

Iklan

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Parit Jawa, di sini pada Ahad.

PAU 2025 dijadual berlangsung selama empat hari bermula pada Rabu, dengan seramai 6,412 perwakilan telah mengesahkan kehadiran.

Iklan

Daripada jumlah itu, seramai 2,928 perwakilan akan menghadiri PAU; manakala Perhimpunan Agung Wanita melibatkan 1,165 orang, Pemuda (1,173 orang) dan Puteri (1,146 orang).

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menegaskan bahawa usul PAU kali ini amat penting kerana ia akan menjadi asas kepada perancangan menghadapi PRU16.

"Kebiasaannya, usul ini mengandungi dua hingga tiga muka surat yang merangkumi beberapa perkara penting melibatkan strategi dan perancangan parti.

"Usul Perhimpunan Agung UMNO sangat signifikan kerana ia akan menentukan perancangan parti bagi tahun 2026, 2027 dan persediaan menghadapi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor," katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, UMNO dilaporkan menerima 662 usul daripada 175 bahagian sempena PAU 2025, dengan tiada usul dikemukakan yang mencadangkan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, semua usul itu dikemukakan hasil persidangan UMNO Bahagian tahun lalu, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 133 usul, daripada keseluruhan 191 bahagian.