TUMPAT – Empat sekolah dinaik taraf sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11), menjadikan keseluruhan sembilan sekolah K11 beroperasi dengan lebih 4,000 pelajar di seluruh negara bagi sesi persekolahan 2026.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, empat sekolah baharu K11 itu masing-masing melibatkan sebuah sekolah di Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan yang sebelum ini berstatus Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan (K9).
“Pada tahun lalu, terdapat lima sekolah K11 dan tahun ini KPM menambah empat lagi di kawasan yang agak terpencil serta kurang kemudahan, selain jumlah sekolah yang tidak banyak di lokasi berkenaan.
“Pelaksanaan sekolah K11 ini selaras dengan pindaan Akta Pendidikan yang mewajibkan pembelajaran sehingga Tingkatan Lima, sekali gus bertujuan memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan hari pertama pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Beluru di sini pada Ahad, yang juga satu-satunya sekolah K11 di Kelantan selain dua sekolah K9 di Gua Musang.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad.
Pada sesi terbabit, keseluruhan 333,206 pelajar berdaftar terdiri daripada 204,389 murid di 417 buah sekolah rendah dan 128,817 pelajar di 178 buah sekolah menengah.
Menurut Wan Hashim, model sekolah K11 membolehkan murid mengikuti pembelajaran dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di premis atau sekolah yang sama tanpa perlu berpindah, khususnya bagi pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar yang berdepan kekangan akses serta kemudahan asrama.
Beliau berkata, bagi sekolah K9 yang menawarkan pendidikan sehingga Tingkatan Tiga, setakat ini terdapat 26 buah sekolah yang menempatkan 7,500 pelajar di seluruh negara, melibatkan negeri-negeri seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan setempat.
“Apabila hanya sehingga Tingkatan Tiga, pelajar terpaksa keluar dari kawasan mereka untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah.
“Dengan K11, pembelajaran dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga Tingkatan Lima di tempat yang sama, sekali gus memudahkan murid dan ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Hashim memaklumkan bahawa KPM memberi keutamaan kepada penambahan blok bangunan dan kemudahan di sekolah sedia ada berbanding pembinaan sekolah baharu, bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi dengan lebih cepat serta berkesan.
“Pembinaan sekolah baharu mengambil masa yang panjang, ada kalanya sehingga tiga atau empat tahun.
“Sebaliknya, penambahan blok, bilik darjah, bengkel dan kemudahan sokongan boleh disiapkan dalam tempoh lebih singkat serta lebih praktikal. Sebab itu, SMK Pulau Beluru K11 juga sedang ditambah tiga blok,” katanya.