Lemas di Pantai Batu Rakit: Ibu harap jasad anak ditemukan

Iklan
Ibu mangsa, Siti Hajar Ismail, 42, menanti anaknya, Muhammad Zarif Mohd Hazahari, 5, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit petang semalam, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA NERUS - Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit, di sini, hanya mampu berdoa agar anaknya segera ditemukan.

Siti Hajar Ismail, 42, berharap pasukan penyelamat dapat menemukan jasad Muhammad Zarif Mohd Hazahari, 5.

Iklan
Iklan

Dia berkata, pada hari kejadian, anak kelima daripada enam beradik itu keluar ke pantai bersama ibu saudaranya, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, serta dua sepupu lelaki untuk mengambil angin.

"Saya benar-benar tidak menyangka kejadian ini boleh berlaku. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur memikirkan nasib Muhammad Zarif.

Iklan

"Saya sangat berharap dia (Muhammad Zarif) masih hidup tetapi jika sebaliknya saya reda dengan kehendak ALLAH SWT. Harapan saya jasadnya dapat ditemukan segera dalam apa jua keadaan," katanya ketika ditemui di Pantai Batu Rakit, di sini pada Sabtu.

Anggota pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dikhuatiri lemas petang semalam di Pantai Batu Rakit, pada Sabtu. Foto Bernama

Dalam pada itu, Siti Hajar berkata, Muhammad Zarif sepatutnya memulakan persekolahan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berhampiran rumahnya pada esok.

Iklan

Bagaimanapun, dia berasa agak pelik kerana anak lelakinya itu seakan tidak teruja dan berkali-kali menyuarakan hasrat tidak mahu ke sekolah dengan alasan mahu menemani adik bongsunya yang berusia tiga tahun di rumah.

"Dia juga beritahu tak mahu bangun awal dan suruh saya pula pergi ke sekolah esok. Tak sangka itu keletah terakhirnya yang akan saya ingat sampai bila-bila," katanya dengan nada sebak.

Siti Hajar berkata, selain operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh anggota penyelamat, ibunya, Khatijah Yusof, 65, juga tidak putus-putus membaca al-Quran di lokasi kejadian sejak petang semalam sebagai usaha Muhammad Zarif dapat ditemukan dengan selamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.43 petang semalam, kanak-kanak itu dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak ketika sedang membasuh kaki di Pantai Batu Rakit. - Bernama