KUALA LUMPUR – Seorang wanita menempuh detik hitam apabila disamun sebelum dipaksa melakukan aksi tidak senonoh dalam kejadian di kawasan Ayer Panas, Setapak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.23 petang pada Rabu.
Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun berada di dalam sebuah kereta bersama teman lelakinya berusia 20 tahun sebelum didatangi seorang individu.
"Suspek menuduh mangsa dan teman lelakinya melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kenderaan berkenaan.
"Suspek kemudian mengambil kad pengenalan mangsa serta teman lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek seterusnya bertindak memaksa mangsa melakukan aksi tidak senonoh bersamanya.
"Suspek kemudiannya melarikan diri bersama telefon bimbit milik mangsa dan teman lelakinya,” katanya.
Menurut Mohamad Lazim, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun di Kota Damansara pada Khamis bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.