KOTA BHARU - Projek pembangunan Arika Kubang Kerian yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini sebagaimana mengikut jadual sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan negeri.
Pengarah Urusan Kumpulan Malvest Group Sdn Bhd, Tan Kian Boon berkata, struktur utama bangunan tersebut kini telah mencapai tingkat ke-42 dan sedang berada di peringkat penutupan bumbung (topping-off).
Menurutnya, walaupun projek berdepan cabaran faktor cuaca khususnya musim monsun, keseluruhan pembinaan masih berada dalam kawalan yang baik.
“Kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan dan kemajuan semasa adalah selari dengan perancangan asal. Kami yakin projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada suku keempat 2026,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Bumbung Arika Kubang Kerian di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah, Pengarah Perancang Bandar dan Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu Banda Raya Islam (MPKB-Bri), TPr Dr Hasnina Hassan dan Pengarah Urusan Sentosa Jaya Development, Datuk Razali Daud.
Kian Boon memberitahu, Arika dibangunkan dengan menekankan kepada kualiti dan kelestarian termasuk penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi yang mematuhi piawaian industri.
Jelasnya, projek berkenaan turut dirangka berasaskan penunjuk hijau (green indicators) dan disasarkan memenuhi Piawaian Penilaian Kualiti dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), selain pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
“Kita sasarkan binaan Arika yang menjadi bangunan bertingkat tertinggi pertama di Kelantan memperoleh pensijilan GBI, dengan standard minimum QLASSIC ditetapkan pada paras 80 peratus sebagai jaminan mutu pembinaan,” katanya.
Mengulas kelebihan projek itu, beliau memberitahu, Arika mempunyai lokasi strategik berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM), sekali gus menjadikannya sesuai untuk keperluan kediaman, perubatan dan pelaburan jangka panjang.
Tambah beliau, pembangunan bercampur (mixed-use) itu menggabungkan unit kediaman dan ruang komersial, selain menyediakan lebih 45 kemudahan termasuk landskap hijau, kolam renang, gimnasium, ruang rekreasi serta perkhidmatan bas ulang-alik ke USM.
Dari segi konsep, Kian Boon berkata, Arika menampilkan seni bina moden bandar yang digabungkan dengan elemen Islamik dan Melayu, di samping penekanan terhadap kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Antara ciri unik projek ini ialah gerbang LED tertinggi sebagai mercu tanda ikonik, selain susun atur kemudahan berlapis dengan taman bertema, kemudahan sukan dan kolam infiniti yang memenuhi gaya hidup moden.
"Sebagai pembangunan bersepadu 42 tingkat yang berteraskan universiti dan hospital, Arika direka untuk memenuhi keperluan kumpulan pengguna berintensiti tinggi seperti pensyarah, pelajar, profesional perubatan serta keluarga pesakit," katanya.
Menurut beliau, faktor permintaan berterusan daripada sektor pendidikan dan perubatan turut menjadikan Arika sebagai aset pelaburan yang stabil, berdaya tahan terhadap kitaran ekonomi serta fleksibel untuk didiami atau disewakan.
Dalam aspek kelestarian dan teknologi pintar, Kian Boon memberitahu, Arika mengintegrasikan sistem penuaian air hujan, pencahayaan cekap tenaga, penggunaan tenaga solar serta ruang hijau menyeluruh, selain dilengkapi sistem keselamatan pintar dan pengurusan fasiliti berteknologi tinggi.
“Untuk pengurusan jangka panjang, kami akan melantik syarikat pengurusan hartanah profesional, termasuk kerjasama dengan Maplehome bagi penyediaan perkhidmatan penginapan jangka pendek bertaraf hotel,” katanya.
Ujar beliau, jika diringkaskan dalam tiga kata kunci, Arika mewakili keperluan asas, integrasi dan kestabilan, selari dengan matlamatnya sebagai pembangunan mercu tanda baharu di Kelantan.
Kian Boon memberitahu, sehingga kini sudah 70 peratus daripada 668 unit sudah terjual.