Aktiviti tidak bermoral anggota tentera jejas keselamatan negara – Mujahid

Iklan
Laporan Sinar Harian dan Mujahid (gambar kecil) ketika sesi rakaman program Interviu Sinar Harian di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM – Pendedahan mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral melibatkan segelintir anggota angkatan tentera termasuk dakwaan budaya 'yeye' boleh menjejaskan keselamatan negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, angkatan pertahanan sepatutnya menjadi institusi yang dipandang serius kerana memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kedaulatan negara dan bukannya terlibat dalam budaya tidak sihat serta salah guna kuasa.

Iklan
Iklan

"Ekspresi seperti ini sangat tidak baik bagi satu kelompok yang menjaga pertahanan negara.

"Dakwaan yang tular itu sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan dalam ketenteraan yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di sebuah kem tentera hingga tular di media sosial.

Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menjelaskan, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.

Iklan

Dalam pada itu mengulas mengenai amalam rasuah dalam kalangan anggota keselamatan, Mujahid menegaskan, perbuatan itu berisiko membuka ruang kepada ancaman luar, khususnya apabila kawalan sempadan boleh dikompromi demi kepentingan peribadi.

Malah beliau mengingatkan dari sudut agama, perbuatan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan, apatah lagi majoriti terlibat anggota beragama Islam.

"Dalam Islam, besar tanggungjawab kita kepada orang bawahan dan mereka yang mengharapkan kita, besarlah juga ganjarannya.

"Namun dalam masa yang sama, lebih besar juga balasan jika amanah itu dikhianati.

"Jika terbukti bersalah, perkara ini dijadikan pengajaran agar perkara seperti ini tidak berulang lagi kerana ia bukan sahaja membahayakan keluarga mereka, tetapi seluruh rakyat dan negara," ujarya.