Lawatan ke makam Ataturk tidak salah dari sudut syariah – Mujahid

Iklan
Mujahid ketika sesi rakaman program Interviu Sinar Harian di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke makam Mustafa Kemal Ataturk di Turkiye tidak menyalahi hukum syarak kerana ia sebahagian daripada adat dan protokol rasmi negara tuan rumah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, amalan menziarahi makam tokoh yang dianggap sebagai pengasas Turkiye moden itu sudah lama menjadi sebahagian daripada upacara rasmi kenegaraan dan turut dilalui oleh pemimpin Malaysia terdahulu.

Iklan
Iklan

"Ini bukan perkara baharu, malah berpuluh tahun diamalkan. (Allahyarham) Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah melalui protokol sama ketika lawatan rasmi ke Turkiye.

"Bukan mereka yang minta mahu pergi (melawat) ke makam itu. Ia sebahagian daripada upacara rasmi yang disediakan negara berkenaan.

Iklan

"Dalam konteks patriotism Turkiye, itulah tokoh yang dianggap sebagai bapa pemodenan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini Anwar dilapor menziarahi dan memberi penghormatan kepada makam pengasas Republik Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk di Anitkabir sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

Iklan

Perdana Menteri turut dibawa meninjau persekitaran kompleks bersejarah berkenaan, termasuk muzium yang memaparkan naratif perjalanan sejarah, pengorbanan dan wawasan besar pembinaan negara bangsa Turkiye.

Anwar turut dilapor menegaskan, pelaksanaan upacara tersebut tidak membawa sebarang mesej politik, meskipun secara peribadi beliau tidak sependapat dengan beberapa dasar dan tindakan Ataturk.

Dalam pada itu Mujahid berkata, lawatan tersebut bukan atas permintaan peribadi, sebaliknya sebahagian daripada agenda rasmi yang telah ditetapkan oleh negara tuan rumah.

"Kalau seseorang pergi atas kehendak sendiri untuk tujuan tertentu, itu hukum lain. Tetapi dalam konteks lawatan rasmi sebagai pemimpin negara, ia tertakluk kepada protokol diplomatik.

"Yang dilarang keras dalam Islam ialah menyembah patung atau tokoh. Sekadar melawat dan meletakkan bunga sebagai penghormatan atas jemputan negara tersebut, itu tidak salah dari sudut siyasah syariah," ujarnya.