Saddi mahu ubah status Kinabatangan daripada daerah termiskin

Iklan
Saddi bersama penyokong Warisan di luar Dewan Sri Lamag.

KINABATANGAN – Pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau selama 10 tahun menjadi sandaran kepada calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman untuk mengangkat suara rakyat Kinabatangan di Dewan Rakyat.

Beliau yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kinabatangan menyasarkan usaha untuk mengeluarkan kawasan itu daripada senarai daerah termiskin di Malaysia, selain memberi tumpuan kepada penyelesaian isu infrastruktur asas, khususnya jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurut Saddi, matlamat utamanya adalah untuk mengubah status Kinabatangan daripada sebuah daerah mundur kepada kawasan yang lebih maju dan berdaya saing.

“Apa yang saya punya matlamat adalah menukar status daerah Kinabatangan ini daripada daerah mundur yang digelar sebagai daerah termiskin di Malaysia. Kita mahu angkat darjatnya.

Iklan

“Kita tidak mahu dalam tempoh dua tahun akan datang ini, Sukau dan Kinabatangan terus dilabel sebagai daerah termiskin. Apabila kita mengangkat darjat itu, kita mahu jalan raya yang bagus, bekalan air yang baik dan elektrik yang tidak putus-putus,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini, pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian masalah infrastruktur asas atau ‘tiga serangkai’ merupakan langkah awal sebelum pembangunan lain dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Iklan

“Itulah misi kita. Sebelum kita mengangkat darjat Sukau dan Kinabatangan ini, yang sering dilabel sebagai daerah termiskin, kita mesti selesaikan dahulu masalah infrastruktur tiga serangkai,” katanya.

Mengulas lanjut, Saddi berkata, pengalaman serta perancangan pembangunan yang dimilikinya ketika menerajui Sukau sebelum ini menjadi bukti kemampuan beliau membawa perubahan.

“Alhamdulillah, saya memang ada blueprint untuk pembangunan daerah Sukau. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja selepas saya menjadi wakil rakyat, Sukau hari ini sudah menjadi daerah kecil.

“Itulah blueprint pembangunan yang telah kita laksanakan dan hari ini pembangunan di Sukau sedang rancak. Dengan pengalaman yang kita ada, inilah yang akan kita bawa ke Parlimen nanti,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan dengan Barisan Nasional (BN), yang pernah menjadi rakan politiknya sebelum ini, Saddi menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik tidak menjejaskan hubungan peribadi.

“Saya sendiri tiga penggal dalam BN dan dalam kalangan calon yang ada, saudara Naim juga mempunyai latar belakang dalam BN kerana beliau anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Pertandingan ini adalah politik, tetapi dari segi persahabatan dan pergaulan, ia kekal seperti biasa. Kami masih boleh berbicara, bergaul dan makan minum bersama-sama,” ujarnya.