SHAH ALAM - Kerajaan dan pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas termasuk campur tangan segera bagi menghentikan penganjuran 'Glamping with Pride' yang mempromosikan ideologi songsang pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ).
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, golongan berkenaan dilihat semakin berani dan terbuka menganjurkan program serta aktiviti yang menzahirkan sokongan terhadap ideologi tersebut kepada masyarakat umum.
Malah menurutnya, penganjuran acara yang dikaitkan dengan kumpulan Jejaka itu menimbulkan kebimbangan rakyat kerana menormalisasikan budaya songsang dalam negara.
"Apakah kita hanya sekadar membutakan mata, memekakkan telinga melihat golongan sebegini merosakkan pemikiran rakyat dan terus menerus menormalisasi budaya songsang dalam negara?
"Malaysia masih tegas berpegang dengan prinsip menolak ideologi LGBTQ, malah tidak wajar membenarkan golongan songsang sebegini bertapak dalam negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan program berkenaan dipromosikan sebagai acara tertutup berkonsep percutian, namun istilah yang digunakan telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Malah bantahan awam semakin meningkat susulan kebimbangan program tersebut bercanggah dengan nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, satu pelan tindakan menyeluruh wajar dirangka bagi memastikan negara dan rakyat bebas daripada penyebaran pemikiran ideologi LGBTQ.
Menurutnya, DUPP sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan mengenai dasar serta polisi tertentu yang didakwa menyimpang, termasuk pemberian ubatan pencegahan HIV seperti PrEP yang menjadi antara faktor menyumbang kepada perkembangan ideologi songsang tersebut.
"Sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah proaktif dan tegas terhadap isu sebegini.
"Satu demi satu tindakan normalisasi mula dizahirkan tanpa segan silu dan sekiranya tiada penguatkuasaan tegas, dibimbangi akan memberikan ruang lebih selesa untuk ideologi ini bertapak," ujarnya.