GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan sikap terbukanya untuk menerima sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tanpa mengira parti.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya tiada halangan selagi pemimpin tersebut berupaya menyatukan semua komponen gabungan serta mendapat sokongan rakyat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, Gerakan tidak melihat isu kepimpinan PN berdasarkan parti mana yang paling dominan sebaliknya menilai keupayaan dan kebolehan individu tersebut untuk membawa PN mencapai kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Bagi Gerakan, fokus kami ialah memilih pemimpin yang boleh memimpin PN untuk menang.
"Sesiapa sahaja layak sekiranya mampu menyatukan semua komponen parti dan pada masa sama mendapat mandat serta sokongan daripada semua lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya pada sidang akhbar di Pasar Awam Sungai Ara, Bayan Lepas pada Sabtu.
Menurut Dominic, PN merupakan satu gabungan yang kukuh dan seimbang untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia kerana dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan dan Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP).
Katanya, Bersatu mewakili masyarakat Melayu, Pas mewakili umat Islam, MIPP membawa suara kaum India manakala Gerakan pula bersifat pelbagai kaum, sekali gus menjadikan PN sebuah gabungan inklusif.
“Islam adalah agama Persekutuan, namun dalam masa sama PN perlu memastikan semua kaum dan agama diberi ruang dan suara.
"Di sinilah peranan Gerakan sebagai jambatan kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau menambah, PN kini meletakkan dirinya sebagai 'government in waiting' dan berada dalam keadaan bersedia untuk mentadbir negara sekiranya mandat diberikan oleh rakyat.
Bagaimanapun, beliau mengakui realiti bahawa PN masih belum mendapat sokongan mencukupi daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam pada PRU lalu.
“Ini satu fakta yang perlu kita akui. Jika PN mahu menang PRU akan datang, kita mesti mendapat mandat daripada semua lapisan rakyat termasuk 'non-Malay' dan 'non-Muslim'.
"Ini adalah kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pemimpin PN yang bakal dipilih perlu bersifat sederhana, inklusif dan boleh diterima oleh semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Dalam perkembangan berkaitan, Dominic mengiktiraf kekuatan Pas sebagai parti terbesar di Malaysia ketika ini dengan 43 ahli Parlimen, selain mempunyai jentera akar umbi yang kuat dan berkesan.
“Kita akui Pas mempunyai jentera yang sangat baik, sentiasa turun padang dan bersama rakyat.
"Ini kekuatan yang kita belajar dan terus pelajari,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini yang menyaksikan semua calon PN tewas kecuali satu kerusi dimenangi Pas, sekali gus membuktikan keberkesanan jentera parti berkenaan.
Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Pas menerajui PN, Dominic menegaskan isu itu bukan soal parti sebaliknya keupayaan pemimpin tersebut.
“Sesiapa sahaja yang boleh menyatukan semua komponen, mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum dan membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional, dia lah yang layak memimpin PN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa peletakan jawatan Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas diterima secara rasmi oleh Majlis Tertinggi PN seperti termaktub dalam perlembagaan gabungan tersebut.
“Setakat ini, peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin belum diterima kerana mesyuarat Majlis Tertinggi belum diadakan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa isu teknikal termasuk kekosongan jawatan Setiausaha Agung PN perlu diteliti secara perundangan bagi memastikan semua proses dilaksanakan mengikut perlembagaan.
“Kita harap isu kepimpinan ini dapat diselesaikan secara muafakat melalui perbincangan dalam kalangan presiden parti komponen tanpa perlu berlarutan.
"Gerakan telah memaklumkan pendirian parti itu kepada Pas dan Bersatu serta yakin isu kepimpinan PN dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat demi kestabilan gabungan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa yang mana, peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan parti itu sudah putuskan satu nama bagi calon Pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin.
Menurut Ahmad Fadhli, nama calon sudah diputuskan namun proses penghantaran beliau tidak pasti macam mana.