PUTRAJAYA – Peruntukan sebanyak RM2.29 bilion yang diterima oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi tahun ini akan ditumpukan kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden.
Langkah ini sekali gus meletakkan keselamatan perairan negara sebagai keutamaan strategik nasional.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM1.09 bilion bagi Belanja Mengurus (OE) dan RM1.2 bilion bagi Belanja Pembangunan (DE).
Menurutnya, peruntukan itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi, pemodenan aset serta keupayaan penguatkuasaan sentiasa berada pada tahap optimum dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
“Peruntukan pembangunan bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 101.43 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama keselamatan maritim negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya ketika menyampaikan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 Maritim Malaysia, di sini pada Jumaat.
Tambahnya, tumpuan tahun 2026 adalah terhadap perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden agar kehadiran Maritim Malaysia di perairan negara terus dirasai.
Menurut beliau, fokus tahun ini juga melibatkan perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pelan penggantian kenderaan operasi serta pembinaan dan naik taraf kompleks serta jeti maritim di lokasi strategik.
“Saya turut ingin memaklumkan bahawa projek kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) pertama kini mencapai kemajuan 58.3 peratus, mendahului jadual asal dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
“Perolehan empat helikopter Medium Lift AW189 turut mencatat kemajuan 44.66 peratus dengan penerimaan pesawat pertama dijangka pada Julai 2026,” ujarnya.