KINABATANGAN - Kawalan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula dilaksanakan termasuk penutupan beberapa jalan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Dewan Sri Lamag, di sini pada Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian seawal jam 7 pagi mendapati anggota keselamatan sudah ditempatkan di lokasi dengan laluan dari Jalan Dato Pengiran Galpam bermula di hadapan Mahkamah Syariah sehingga Simpang Tiga menuju Jalan Dato Malek Chua ditutup kepada pengguna jalan raya.
Petugas media turut mula berkumpul di kawasan pusat penamaan calon bagi membuat liputan proses penamaan calon untuk kedua-dua PRK berkenaan.
Selain itu, persiapan lain termasuk rondaan jentera pasukan bomba serta jentera sokongan bekalan elektrik turut berada di lokasi sebagai langkah kesiapsiagaan.
Proses penamaan calon dijadualkan bermula jam 9 pagi bagi memberi peluang kepada calon yang berminat untuk bertanding dalam PRK tersebut.
Setakat ini, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.
Bagi kerusi DUN Lamag pula, BN menamakan bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, untuk mewakili parti itu.
Sementara itu, Parti Warisan (Warisan) menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman sebagai calon Parlimen Kinabatangan, manakala Ahli Majlis Tertinggi parti, Mazliwati Abdul Malek, dicalonkan bagi kerusi DUN Lamag.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar, 66, pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hari ini sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari.
Kedua-dua PRK tersebut melibatkan seramai 48,722 pemilih berdaftar, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa serta 196 pengundi awal membabitkan anggota polis dan pasangan.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.
Hari pengundian bagi kedua-dua PRK ditetapkan pada 24 Januari, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari.