IPOH - Beberapa ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak yang sebelum ini tampil dalam sidang media mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan pada 10 Disember lalu disahkan menerima surat daripada Lembaga Disiplin Bersatu.
Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan, Kamaruddin Majid mengesahkan, beliau antara individu yang menerima surat berkenaan dalam format PDF yang diserahkan hanya melalui aplikasi WhatsApp pada Jumaat.
Menurutnya, surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan itu mengarahkannya hadir ke sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti pada 14 Januari ini di Ibu Pejabat Bersatu.
"Saya memang sudah menjangkakan surat ini akan diterima seperti ketua bahagian lain. Justeru, tindakan ini bukan sesuatu yang luar biasa dan saya menganggapnya sebagai cubaan untuk menutup mulut pemimpin akar umbi daripada menyuarakan kritikan kepada pimpinan.
"Namun, saya bersyukur kerana tindakan ini secara tidak langsung membuka mata semua pihak, khususnya rakyat, bahawa isu dalaman parti dilihat lebih diutamakan berbanding usaha membantu rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kamaruddin berkata, beliau reda dengan apa juga tindakan yang mungkin dikenakan termasuk penggantungan atau pemecatan keahlian seperti yang dialami beberapa pemimpin sebelum ini.
Beliau menyifatkan, tindakan disiplin terhadap pemimpin parti di peringkat akar umbi hanya akan merugikan serta membazirkan sumber parti.
Difahamkan selain Kamaruddin, beberapa ketua bahagian Bersatu lain termasuk Larut, Gopeng, Padang Rengas, Tapah dan Pasir Salak turut menerima surat sama.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Bahagian Teluk Intan, Muhammad Munawar Biran menegaskan sayap parti itu berdiri teguh menyokong Kamaruddin.
Menurutnya, pendirian yang disuarakan bersama pimpinan bahagian lain sebelum ini bukan satu pelanggaran disiplin, sebaliknya tanggungjawab moral dan politik demi menyelamatkan parti daripada krisis dalaman yang berpanjangan.
"Maka timbul persoalan wajar dalam kalangan ahli dan akar umbi parti, sejak bila menyatakan kebenaran serta pandangan demi kebaikan parti menjadi sebab untuk dipanggil ke Lembaga Disiplin?
"Saya tidak mempertikaikan kewujudan atau peranan Lembaga Disiplin, namun kuasa tidak boleh digunakan untuk menekan atau menakutkan suara dalaman parti yang bercakap dengan niat memperbaiki, bukan merosakkan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, Bersatu tidak akan runtuh kerana keberanian menyatakan kebenaran, sebaliknya parti boleh runtuh sekiranya kebenaran dianggap sebagai ancaman kepada kepimpinan.
Pada 10 Disember lalu, media melaporkan seramai 14 daripada 24 ketua bahagian Bersatu di Perak tampil secara bersama mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan Presiden demi masa depan parti.
Desakan itu disuarakan Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan berkenaan.