SHAH ALAM - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menjadi bank pertama berkolaborasi bersama Rasuah Busters dalam usaha memperkasakan integriti dalam kalangan kakitangan bank berkenaan.
Ketua Jabatan Pematuhan EXIM Bank, Mohammad Nizam Abdul Samad berkata, kolaborasi itu menumpukan pembudayaan integriti sebagai teras organisasi sejajar pelan strategik yang memberi penekanan kepada empat aspek utama iaitu kecemerlangan tadbir urus, pengintegrasian integriti, pemerkasaan reputasi serta keyakinan pemegang taruh.
"Sebagai institusi kewangan pembangunan, EXIM Bank beroperasi dalam persekitaran berisiko tinggi melibatkan pembiayaan antarabangsa, perdagangan dan projek strategik negara.
"Standard tadbir urus tidak boleh dikompromi dan bukan fungsi berasingan atau silo, sebaliknya perlu diintegrasikan dalam keseluruhan proses kerja, sistem kawalan dalaman serta proses membuat keputusan organisasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerjasama berkenaan secara tidak langsung memberi isyarat jelas pihaknya mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Justeru ujarnya, EXIM Bank komited memastikan inisiatif berkenaan tidak terhenti sebagai program kesedaran semata-mata.
"Pelaksanaan akan diperluaskan secara berperingkat kepada lebih ramai warga kerja supaya budaya integriti benar-benar meresap ke seluruh organisasi.
"Ia merangkumi sesi berterusan dan berskala besar yang bukan hanya kepada pihak pengurusan, tetapi pekerja sokongan dan barisan hadapan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin memuji penekanan pihak pengurusan bank berkenaan terhadap aspek 'due diligence' serta penilaian risiko dalam urus niaga kewangan yang melibatkan jumlah besar.
"Apabila melibatkan transaksi kewangan berskala besar, sistem kawalan dalaman dan tadbir urus manusia menjadi lebih penting daripada sekadar pematuhan prosedur.
"Apa yang dibuat bukan hanya mengikut garis panduan, tetapi mempertahankan institusi dengan memperkukuhkan dinding integriti dalam kalangan warga kerja.
"Inilah yang penting, bukan sekadar menjalankan perniagaan teras perbankan, tetapi memastikan prinsip integriti dipasakkan dalam diri setiap kakitangan," katanya.