SHAH ALAM - Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan, Wan Elara Adreena Wan Mohamed Asraf, kini berdepan ujian besar apabila disahkan menghidap Biliary Atresia sejak berusia sebulan, iaitu penyakit yang menyebabkan salur hempedu tersumbat sekali gus menjejaskan fungsi hati.
Ibunya, Kamalin Mastura berkata, Elara menjalani pembedahan Kasai ketika berusia kira-kira dua bulan, namun keadaan hati bayinya masih tidak stabil selepas pembedahan itu.
Menurutnya, bacaan fungsi hati Elara terus merosot selain dua kali dijangkiti jangkitan salur hempedu. Walaupun telah menerima rawatan antibiotik, paras jaundis anaknya kekal tinggi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemindahan hati adalah satu-satunya pilihan bagi membantu Elara,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalin Mastura bersetuju untuk menderma sebahagian hatinya sendiri bagi menyelamatkan nyawa anaknya itu.
Pembedahan pemindahan hati Wan Elara Adreena dijadualkan berlangsung pada 21 Januari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan akan dikendalikan pasukan pemindahan hati berpengalaman.
Prosedur itu disifatkan mencabar kerana melibatkan pesakit bayi.
Kamalin Mastura turut memaklumkan beliau mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun, manakala urusan penjagaan anak-anak ketika ini dibantu ibunya yang berusia 55 tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CCEP Foundation, Yvonne Yee berkata, pihaknya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000 bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati Wan Elara Adreena.
“Kami berharap orang ramai dapat bersama-sama membantu memberi peluang kepada Elara untuk terus membesar dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan kepada CCEP Foundation (nyatakan: Elara) melalui akaun RHB 26219300009342 dan maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web ccep.org.my.