KULAI - Seorang remaja lelaki memberi alasan sakit perut dan menumpang tandas di sebuah hotel di sini ketika dicekup berkhalwat bersama seorang wanita Indonesia pada tengah malam Rabu.
Menurut satu kenyataan laman facebook Lampu Suluh Banteras Maksiat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengah malam.
"Ketika pemeriksaan, lelaki tersebut mengambil masa kira-kira lima minit sebelum membuka pintu bilik hotel dan kelihatan mahu melarikan diri, namun berjaya dihalang anggota penguatkuasa JAINJ.
"Wanita warga Indonesia berusia 22 tahun itu pula didapati menyorok di dalam tandas ketika pemeriksaan dijalankan.
"Hasil pemeriksaan mendapati mereka bukan suami isteri dan berstatus bujang," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan JAINJ, remaja itu membawa keluar teman wanitanya dari asrama pekerja dengan menaiki motosikal untuk makan malam bersama pukul 8.30 malam.
Bagaimanapun, remaja lelaki itu tidak sempat menghantar wanita itu pulang memandangkan asrama terbabit tutup pada jam 10 malam sebelum mendaftar masuk bilik hotel atas nama lelaki tersebut.
"Lelaki tersebut memberikan alasan mahu menumpang tandas kerana sakit perut selepas makan malam bersama-sama.
"Apabila ditanya kenapa mereka berdua-duaan di bilik itu, lelaki kata hanya mahu menghantar wanita sahaja dan selepas itu mereka hanya baring sambil tengok TikTok, tak buat apa-apa yang nakal," tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, remaja lelaki tersebut juga berkata, dia tidak berhasrat untuk berkahwin dengan wanita terbabit kerana masih belasan tahun selain belum berkemampuan.
"Pasangan ini ditahan atas kesalahan khalwat di bawah seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997," tambah kenyataan tersebut.