PETALING JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.7 juta menerusi program Sinar Kasih Ramadan sepanjang 18 tahun penganjurannya.
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata penyaluran sumbangan itu sekali gus telah membantu ribuan keluarga miskin tegar di seluruh negara.
“Seramai 4,071 keluarga telah menerima manfaat sejak program ini dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sinar Kasih Ramadan YBK, di sini, Jumaat lalu.
Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, seramai 400 keluarga akan menerima bantuan tahunan tersebut, meningkat berbanding 200 keluarga pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan jumlah penerima itu adalah hasil penglibatan lebih banyak syarikat dan badan korporat yang tampil menyumbang.
“Setakat ini, YBK telah mengumpul kira-kira RM100,000 dan menyasarkan sumbangan diterima sepenuhnya sebelum Ramadan bagi membolehkan bantuan dimanfaatkan sepanjang bulan puasa,” ujar beliau.
Zainal Abidin berkata, setiap keluarga akan menerima sumbangan tunai sehingga RM600 bergantung kepada saiz keluarga, selain bantuan barangan keperluan hasil kerjasama dengan rakan strategik.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pemilihan penerima dibuat berdasarkan pangkalan data YBK, kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor melalui sistem e-Kasih, serta senarai daripada pusat zakat.
Keutamaan diberikan kepada keluarga miskin tegar yang mempunyai tanggungan anak orang kurang upaya (OKU).
Tambahnya, semua kos pengurusan dan logistik, termasuk pembungkusan, penghantaran serta tenaga sukarelawan, ditanggung sepenuhnya oleh YBK tanpa menggunakan wang sumbangan.
“Setiap ringgit sumbangan akan terus disalurkan kepada kumpulan sasar,” jelasnya.
Menurut beliau, bantuan disalurkan terutamanya di Lembah Klang, namun pernah diperluaskan ke negeri lain termasuk Kelantan dan Terengganu.
“YBK turut berperanan menghubungkan keluarga miskin dengan agensi bantuan lain seperti zakat dan e-Kasih bagi memastikan mereka menerima bantuan berterusan,” tambah beliau.