UMUM mengetahui pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) sememangnya diyakini ramai bukan sahaja di dalam negara, bahkan turut terkenal di serata dunia.
Oleh sebab itu, apabila sesebuah premis atau produk mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), masyarakat tidak perlu ragu-ragu lagi untuk makan atau menggunakannya.
Penolong Pengarah Kanan Advokasi, Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Ustaz Umran Abd Rahman menyifatkan usaha keras untuk mendapatkan sijil halal sebagai satu langkah penting bukan sahaja kepada pengusaha Muslim, bahkan turut memberi manfaat besar kepada pelanggan bukan Islam.
“Sijil halal bukan hanya memenuhi tuntutan kewajipan penganut Islam, ia kini diterima masyarakat bukan Islam kerana mereka tahu halal membawa makna kebersihan dan sistem yang dijaga serta dikawal rapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Sijil Halal K Garden di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Halal: Bersih, selamat dan patuh standard
Ujarnya, kebersihan merupakan antara aspek utama dalam proses pensijilan halal kerana setiap premis dinilai secara menyeluruh termasuk lantai, meja dan dapur serta proses pengurusan bahan mentah.
“Itu janji kami (dalam menjaga standard halal),” jelasnya.
Beliau menegaskan, dengan adanya sijil halal yang diluluskan Jakim, ia memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa makanan yang disediakan itu dalam keadaan bersih, selamat dan mematuhi standard.
Bukan semua permohonan lulus
Menurut Ustaz Imran, Jakim menerima sebanyak 400 borang permohonan sijil halal pada setiap bulan.
“Bagaimanapun saya ingin mengingatkan bahawa tidak semua permohonan diluluskan serta-merta.
“Ini kerana prosesnya melibatkan banyak tapisan termasuk semakan dokumen, penilaian kelayakan, audit di premis dan lain-lain lagi.
“Hanya premis yang benar-benar memenuhi syarat pensijilan halal akan diluluskan permohonannya,” hurainya lagi.
Hanya RM100 setahun
Mengulas mengenai salah faham yang berlaku dalam kalangan pengusaha, Ustaz Imran menjelaskan, Jakim hanya menetapkan bayaran sebanyak RM100 untuk tempoh setahun SPHM.
“Hakikatnya, untuk premis makanan, yuran hanyalah RM100 dan sijil yang sah untuk dua tahun pula hanya perlu bayar RM200,” jelas beliau lagi.
Ujarnya, pensijilan halal bukan sekadar simbol, tetapi ia juga aset perniagaan yang mampu membuka peluang lebih luas lagi.
Beliau menasihatkan pengusaha untuk berurusan terus dengan Jakim sekiranya memerlukan panduan atau menghadapi kekeliruan agar tidak tertipu dengan pelbagai caj yang dikenakan pihak luar.
“Kami di Jakim sentiasa bersedia membantu semua pengusaha baik Muslim atau bukan Islam.
Menurutnya, pensijilan halal hari ini bukan hanya simbol kepatuhan syariah, ia juga penanda aras kebersihan, keselamatan makanan dan integriti perniagaan.
“Usaha mendapatkan sijil halal wajar dilihat sebagai pelaburan kepercayaan pelanggan serta langkah penting ke arah profesionalisme industri makanan di Malaysia,” katanya.