Kenyataan Wan Rosdy perlu difahami dalam konteks pentadbiran – UMNO Pahang

Iklan
Shahaniza

KUANTAN – Kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Pahang yang dikatakan membantu memudahkan urusan kerajaan negeri perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan memastikan kelancaran urusan pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan itu bukan satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik seperti yang ditanggapi segelintir pihak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang memikul tanggungjawab besar memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

"Dalam proses tersebut, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Shahaniza berkata, UMNO Pahang berdiri teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar dalam menerajui kerajaan negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.

Tambahnya, UMNO Pahang juga pada masa sama menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

Iklan

"Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak," ujarnya.

Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, kehadiran Exco daripada DAP dalam barisan kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding ketika bersama rakan parti komponen MCA sebelum ini.

Kenyataan beliau semasa berucap merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di Putrajaya pada Khamis dipercayai bagi menjawab tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, kenyataan itu telah dipersoalkan oleh MCA Pahang, di mana pengerusinya, Datuk Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu, sambil menuntut Wan Rosdy memperincikan aspek yang dimaksudkan.