PERAK FA bersedia memberikan kejutan apabila turun menentang pasukan Liga Super dari Lembah Klang, KL City FC pada aksi Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 18 Januari ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pasukan kendalian Liga A1 itu kini giat menjalani latihan lebih agresif bagi meningkatkan tahap kesediaan pemain menjelang perlawanan berprestij tersebut.
Menurutnya, barisan kejurulatihan telah diarahkan menilai secara menyeluruh kekuatan dan kelemahan pasukan termasuk keperluan menambah pemain di beberapa posisi utama.
"Kita dah mula latihan yang lebih agresif dan saya minta jurulatih menilai semua pemain untuk melihat kekuatan serta kekurangan pasukan.
"Jika ada posisi yang masih lemah seperti di bahagian tengah, penyerang atau pertahanan, saya bersedia melakukan perubahan sekiranya ia mampu melonjakkan prestasi Perak FA,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Liga Perak Sejahtera Inter-Parlimen yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Khamis,
Sementara itu, beliau mengakui KL City FC memiliki kelebihan dari segi pengalaman berbanding skuad muda Perak FA, namun percaya kesepaduan dan semangat juang pemain mampu mengimbangi cabaran tersebut.
"Memang kita tahu pemain mereka lebih senior, banyak jam permainan dan mempunyai pemain import. Tapi apa yang saya lihat, kebersamaan latihan yang sistematik dan kesepaduan pasukan telah meningkatkan keghairahan pemain untuk berjuang.
"Saya harap mereka dapat mempersembahkan permainan berkualiti dan berdisiplin serta berani mencabar lawan. Sudah tentu harapan kita untuk mencipta kejutan seperti sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azhar turut mengakui perubahan venue perlawanan dari Kompleks Bola Sepak Chepor ke Stadium MPM mungkin memberi sedikit cabaran, namun yakin ia mampu diatasi dengan perancangan rapi.
Mengulas kemungkinan membawa masuk beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan ketika ini, Mohd Azhar menjelaskan, PAFA memberi kepercayaan penuh kepada barisan pengurusan pasukan untuk membuat penilaian terbaik.
"Jika keperluan itu ada dan ia boleh membawa perubahan besar, saya setuju untuk membuka ruang melakukan pertukaran pemain. Ia bukan sahaja untuk persiapan Piala Malaysia, malah bagi jendela kedua liga.
"Kita mahu bina momentum dan keyakinan bukan sahaja kepada pasukan, tetapi juga kepada penyokong serta pemain muda bahawa bola sepak Perak masih ada masa depan," katanya.