KEHADIRAN bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon ke pangkuan Selangor FC boleh diibaratkan sebagai pembuka lembaran baharu buat Gergasi Merah dalam misi menamatkan penantian panjang menjulang kejuaraan domestik.
Langkah pengurusan melantik jurulatih berpengalaman dari Korea Selatan itu dilihat sebagai strategi agresif untuk bukan sahaja mengembalikan maruah pasukan yang pernah bergelar antara pasukan gergasi itu, malah mencabar dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah menguasai takhta Liga Super lebih satu dekad.
Misi besar Pan-gon dijangka terarah kepada usaha merapatkan jurang kualiti dan mentaliti antara Selangor dan skuad Harimau Selatan.
Pan-gon tiba dengan reputasi cemerlang selepas berjaya memacu kebangkitan skuad kebangsaan termasuk kejayaan melonjakkan ranking dunia dari 154 ke tempat ke-134 dunia sepanjang tempoh 2022 hingga 2024 selain pencapaian terbaik berada di kedudukan ke-130 dunia pada November 2023.
Beliau turut berjaya melayakkan Malaysia ke Piala Asia secara merit sejak kali terakhir dicapai pada 1980.
Malah, kredibiliti beliau turut diperkukuh apabila membantu kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD memenangi liga selepas meninggalkan skuad negara.
Pengalaman luas ini dilihat mampu meletakkan Selangor pada tahap lebih kompetitif, khususnya dalam pembentukan identiti dan falsafah permainan yang lebih ampuh.
Pan-gon juga berkelebihan dari segi variasi taktikal, intensiti yang diterapkan dalam setiap latihan dan perlawanan selain pemahamannya yang mendalam terhadap budaya bola sepak Malaysia.
Hubungan sedia ada dengan beberapa tonggak Selangor ketika bersama skuad kebangsaan, seperti Faisal Halim dijangka memudahkan proses penyesuaian di peringkat awal.
Bagaimanapun, proses yang dirangka ini tidak mampu dicapai secara bersendirian tanpa sokongan padu pengurusan dalam menyediakan persekitaran kondusif dan kestabilan jangka panjang.
Sudah pasti reputasi besar hadir bersama tekanan yang tinggi. Penyokong Selangor yang sering mengharapkan tuntutan kejayaan segera pastinya meletakkan harapan menggunung di bahu Pan-gon sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki.
Ditambah pula dengan dakwaan pelaburan besar untuk membawa masuk Pan-gon serta pemilihan pemain import baharu yang akan dilakukannya, keterujaan para peminat pastinya berada pada tahap maksimum.
Namun, ruang sepenuhnya perlu diberikan kepada Pan-gon untuk merencana ideanya selain Selangor tidak boleh terlalu cepat menghukum dengan memecat jurulatih seperti yang berlaku sebelum ini.
Sejarah membuktikan kerusi panas Selangor FC adalah antara yang tidak stabil apabila jurulatih sering menjadi mangsa apabila keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan.
Jika mentaliti ini berterusan, impian untuk menyaingi JDT hanya akan kekal sebagai angan-angan kosong.
Perlu diingat, membina empayar bola sepak bukan kerja satu malam. JDT sendiri mengambil masa beberapa tahun untuk membina sistem yang kukuh seperti hari ini.
Sekiranya pengurusan serta penyokong mengharapkan keajaiban dalam tempoh singkat, pelantikan Pan-gon mungkin berakhir dengan episod kekecewaan.
Di atas kertas, Selangor kini memiliki nakhoda yang cukup syarat untuk mencabar kejuaraan, namun ramuan kejayaan bukan terletak pada taktikal atau kualiti pemain import semata-mata.
Jika beliau diberi kepercayaan penuh, sokongan dan masa mencukupi tidak mustahil dominasi JDT akhirnya bakal mendapat pencabar yang sebenar.