PN perlu dahulukan transformasi matang, berbeza daripada BN-PH - Annuar

Iklan
Annuar

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) perlu mendahulukan transformasi ke arah organisasi politik yang lebih matang dan berwibawa, sekali gus menampilkan pendekatan berbeza berbanding gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, PN mempunyai peluang besar untuk membina sebuah gabungan politik yang lebih inklusif dan progresif berasaskan struktur perlembagaan sendiri.

Iklan
Iklan

“Perlembagaan PN Perkara 7 memperuntukkan kuasa utama kepada Majlis Presiden. Di sini semua presiden parti komponen berada pada tahap setara sesama mereka.

“Parti besar atau kecil mempunyai suara yang sama dan keputusan dibuat secara syura dan konsensus,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Ujar Annuar, Perkara 8 pula memberi ruang pentadbiran yang lebih luas kepada pasukan bekerja dan mentadbir secara kolektif.

“Pengerusi dan anggota Majlis Presiden boleh menggerakkan PN sebagai satu gabungan yang berpadu tanpa terikat dengan protokol dan birokrasi.

Iklan

“Ini mampu menjadikan PN sebuah parti dengan permuafakatan yang utuh, dianggotai tenaga kerja yang boleh dipetik dari pelbagai komponen,” ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, perlembagaan PN juga menyediakan ruang untuk pindaan dibuat bagi memperkukuhkan organisasi, tertakluk kepada persetujuan Majlis Presiden, termasuk cadangan pelantikan Setiausaha Agung Bersama sekiranya diperlukan.

Menurutnya, PN turut mempunyai kelebihan yang membenarkan penyertaan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli dan sekutu.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada PN untuk berperanan sebagai payung besar penyatuan, termasuk membawa masuk tokoh berkeupayaan tinggi, golongan profesional dan teknokrat yang mungkin tidak berparti atau tersisih daripada jalur politik biasa.

“Pada masa sama prinsip parti secara bersama menguasai kerajaan dapat dilaksanakan. Ini menentukan di mana PN secara syura boleh memilih calon Perdana Menteri apabila PN mempunyai cukup majoriti selepas setiap pilihan raya umum (PRU).

“Pemimpin parti berpengalaman dan berpengaruh juga boleh kekal memimpin parti gabungan secara syura serta muafakat,” kata beliau.