PUTRAJAYA - Seorang bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya direman bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Permohonan reman turut membolehkan pihak SPRM mengesan individu lain dipercayai terlibat serta menjejaki aset dan proksi disyaki digunakan, selain menghalang sebarang kemungkinan suspek menghubungi saksi atau mengganggu termasuk memusnahkan bahan bukti yang masih belum diperoleh sepenuhnya.
Iklan
Iklan
Perintah reman selama tujuh hari sehingga Rabu terhadap bekas Panglima Tentera Darat telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Khamis.
Sementara itu, perintah reman terhadap isteri pertama selama tiga hari sehingga Sabtu dan isteri kedua selama enam hari sehingga Selasa turut dikeluarkan oleh Majistret yang sama selepas permohonan dibuat di mahkamah berkenaan.
Dalam hujahannya di mahkamah, Pegawai Penyiasat SPRM memohon perintah reman terhadap suspek utama bagi tempoh tujuh hari atas alasan siasatan melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang, yang dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.
Menurut SPRM, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 3 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan menegaskan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.