DATUK Noor Azman Rahman kembali menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu memutuskan penggantungan beliau telah berakhir.
Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung pada Khamis sekali gus membolehkan Noor Azman kembali menggalas tugasnya berkuat kuasa serta-merta.
FAM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu juga mengesahkan bahawa Noor Azman hanya didapati terlibat dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah serta tidak terlibat dalam sebarang unsur pemalsuan dokumen.
Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 telah meneliti laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan memutuskan untuk meneruskan penggantungan Noor Azman yang bermula sejak 17 Oktober tahun lalu sementara kes berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi tindakan lanjut.
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu kemudiannya bermesyuarat dengan mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dilalui oleh Noor Azman serta laporan IIC bertarikh 15 Disember.
Hasil penelitian tersebut membawa kepada keputusan untuk mengembalikan Noor Azman ke jawatan Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
Pada 17 Oktober lalu, Noor Azman digantung tugas serta-merta susulan siasatan membabitkan FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.
Ia bagi membolehkan satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran sehingga dihukum FIFA.