PUTRAJAYA - Pelaksanaan pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara, akan berkuat kuasa Jun atau Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketetapan itu selaras dengan perancangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan diluluskan Parlimen tahun lepas.
Beliau berkata, tempoh lama diambil memandangkan pindaan kepada Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dalam dua versi bahasa iaitu Melayu dan Inggeris.
"Kedua-dua bahasa telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC). Selepas itu, kita perlu mempersiapkan dokumen dan borang berkaitan serta memaklumkan kepada pejabat Malawakil Malaysia di seluruh dunia.
"Seterusnya, proses perkenan dan pewartaan," katanya dalam sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KDN di sini pada Khamis.
Beliau menyifatkan, perkembangan itu sebagai pencapaian besar kerajaan Madani dalam memastikan keadilan kepada ibu yang sekian lama berdepan kesukaran mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak mereka.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menegaskan, proses membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan tidak pernah tergendala meskipun pindaan dilaksanakan.
"Bagi tahun 2025, saya menetapkan sasaran untuk membuat keputusan terhadap 20,000 permohonan kewarganegaraan.
"Hingga semalam, laporan pegawai menunjukkan saya telah membuat keputusan terhadap 20,032 permohonan melepasi KPI sebanyak 32 permohonan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata, ketika beliau mula memegang jawatan, hampir 50,000 permohonan tertunggak direkodkan, namun kini baki permohonan berkurangan kepada kurang daripada 4,000.
"Saya optimis permohonan tertunggak selama hingga 15 tahun ini dapat diselesaikan. Menjelang suku pertama tahun ini, permohonan lama yang tertangguh akan dibuat keputusan.
"Selepas itu, kita akan membuka lembaran baharu dengan pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, 35 banduan kebanyakannya dari Penjara Kajang berjaya bergelar huffaz dan menamatkan modul pemulihan yang dilaksanakan.
"Saya telah mengarahkan supaya program ini diperluaskan ke penjara lain dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri.
"Kita mempunyai penjara di seluruh negara. Jika ini dilaksanakan secara tersusun, ia boleh menjadi satu gerakan nasional," katanya.
Beliau berkata, cabaran terbesar selepas banduan bebas adalah penerimaan masyarakat yang sering mengekang proses reintegrasi mereka.
Bagi menangani cabaran tersebut, pelbagai program kini dilaksanakan termasuk Pembebasan Berlesen, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Komuniti dengan kerjasama hampir 900 majikan dalam sektor perladangan dan pertanian.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, 22 rumah perantaraan diwujudkan di seluruh negara bagi membantu bekas banduan yang tidak diterima keluarga atau komuniti.
Beliau berkata, kadar residivisme ketika ini berada sekitar 12 peratus, namun jauh lebih rendah bagi peserta program pembebasan berlesen dan perintah kehadiran wajib, dengan hanya satu daripada 800 bekas banduan yang kembali melakukan jenayah. - Bernama