SUMATERA BARAT– Fenomena lubang benam dikesan muncul di Nagari Situjuah Batua, Kecamatan Situjuah Limo Nagari, Kabupaten Limapuluh Kota sejak Ahad, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Lubang berkenaan pada awalnya dipenuhi air berwarna coklat, namun warna air itu berubah menjadi biru kehijauan selepas beberapa hari.
Paras air di dalam lubang turut meningkat secara berterusan sehingga melimpah dan menenggelami kawasan sawah di sekitarnya.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan keadaan lubang tersebut menyerupai sebuah telaga, dengan air berwarna biru yang jelas kelihatan.
Menurut laporan media tempatan, diameter lubang itu setakat ini tidak menunjukkan perubahan ketara.
“Keadaan lubang masih digenangi air dan mengairi sawah. Saiz lubang kekal sama, sementara warna air kelihatan biru seperti telaga,” menurut keterangan dalam laporan berkenaan.
Susulan penemuan lubang benam itu, pihak berkuasa segera memasang pita keselamatan di sekitar kawasan terbabit bagi menghalang orang awam daripada menghampiri lokasi kejadian.
Langkah tersebut diambil sebagai tindakan berjaga-jaga berikutan kemungkinan pergerakan tanah susulan yang masih belum stabil dan berisiko membahayakan keselamatan penduduk.
Menurut Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Limapuluh Kota, lubang benam berkenaan dianggarkan mempunyai panjang sekitar 10 meter, lebar tujuh meter dan kedalaman hampir 5.7 meter.
BPBD memaklumkan, kawasan Nagari Situjuah terletak di zon batuan kapur, yang sememangnya terdedah kepada fenomena tanah runtuh atau benam akibat hakisan air bawah tanah.
Lapisan batu kapur itu pula dilitupi bahan gunung berapi dari Gunung Sago, menjadikan tanah di kawasan tersebut subur dan digunakan secara meluas untuk aktiviti pertanian.
Fenomena lubang benam bukan sesuatu yang asing bagi penduduk Sumatera Barat dan dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Sawah Luluih.
Walaupun kawasan itu telah dipagari, fenomena berkenaan tetap menarik perhatian orang ramai.
Beberapa video yang dimuat naik di platform TikTok menunjukkan kehadiran penduduk yang berkumpul berhampiran sawah untuk melihat kejadian tersebut.
Malah, rakaman terbaharu memperlihatkan peniaga kecil berbaris di tepi jalan, menjadikan fenomena alam itu seolah-olah satu tontonan awam.
Pihak berkuasa sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati kawasan lubang benam berkenaan demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, sementara siasatan dan pemantauan lanjut terus dijalankan.-Agensi