Pas tegur MB Perlis, kenyataan pelawa ADUN jadi Exco tidak wajar

Iklan
Ahmad Fadhli

PASIR MAS - Pas menegur kenyataan terbuka Menteri Besar Perlis, Mohd Abu Bakar Hamzah yang mempelawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyertai kerajaan negeri sebagai Exco, dengan menyifatkannya sebagai langkah kurang wajar.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendirian parti itu untuk tidak menyertai pentadbiran kerajaan negeri Perlis sudah dinyatakan secara jelas sebelum ini, justeru sebarang pelawaan secara terbuka dilihat tidak sesuai.

Iklan
Iklan

“Saya rasa tindakan Menteri Besar Perlis membuat pengumuman secara terbuka itu kurang sesuai kerana Pas sudah membuat kenyataan bahawa kita tidak menyertai kerajaan.

“Apabila beliau menyatakan pelawaan kepada Pas dalam keadaan pendirian sudah jelas, ia seolah-olah menggambarkan usaha menarik wakil rakyat (Pas) secara peribadi untuk menyertai kerajaan,” katanya semasa sidang media pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart di sini. Turut hadir Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Ahmad Fadhli berkata, sebarang rundingan atau perbincangan berkaitan perkara itu sepatutnya dibuat secara tertutup melalui saluran kepimpinan tertinggi parti, termasuk berunding dengan Presiden Pas.

Iklan

"Abu Bakar sepatutnya berjumpa Presiden Pas untuk berbincang, bukannya membuat kenyataan terbuka.

“Kalau mahu, Pas juga boleh membuat kenyataan terbuka mempelawa individu yang telah dipecat oleh Bersatu menyertai parti, tetapi kita tidak berbuat demikian,” ujarnya.

Mengulas kedudukan politik di Perlis, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai 11 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) hanya satu kerusi, sekali gus menafikan keperluan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setakat ini saya tidak nampak sebab untuk bubar DUN. Pas juga telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada dan tidak akan menggugat kestabilan politik.

“Kita tidak sama seperti sesetengah parti yang menggunakan akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan rakan sendiri,” katanya.

Menurut beliau, Pas akan terus menyokong kerajaan negeri demi kestabilan politik di Perlis, meskipun tidak menyertai pentadbiran sebagai anggota Exco.