Pemandu lori ditahan positif ganja, tahan mengantuk jadi alasan

Iklan
Antara inidividu yang ditahan untuk ujian saringan dalam operasi dijalankan pada Rabu.

DENGKIL – “Saya ambil sebab nak tahan mengantuk, tak sangka kali ini akhirnya saya ditahan.”

Itu alasan diberikan seorang lelaki tempatan yang ditahan selepas didapati positif ganja ketika saringan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Lelaki terbabit yang merupakan pemandu lori mendakwa ini kali kedua dia mengambil bahan terlarang berkenaan, kononnya sekadar mencuba bagi mengelakkan rasa mengantuk ketika memandu jarak jauh.

Menurutnya, perbuatan itu akhirnya membawa padah apabila dia ditahan dalam operasi bersepadu berkenaan, selain mengakui kesal dengan tindakan yang dilakukan.

Iklan

Individu yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang cahaya mata itu berkata, dia dalam perjalanan dari selatan tanah air selepas menghantar barangan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, seramai 21 individu ditahan bagi menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi berkenaan.

Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, lima individu didapati positif dadah membabitkan empat kes methamphetamine dan satu kes ganja.

“Kesemua individu yang positif akan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Pengambilan dadah kononnya untuk menahan mengantuk ketika memandu adalah berisiko dan boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di R&R Dengkil pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi ini melibatkan seramai 88 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK dan Unit Penguatkuasaan Lalu Lintas (UPLR).

Menurutnya, operasi yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas 289 kenderaan, dengan 94 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 210 notis saman dikeluarkan merangkumi pelbagai kesalahan termasuk Lesen Memandu Kompeten (CDL), lesen vokasional, lesen kenderaan motor (LKM), insurans serta kesalahan teknikal lain, selain tindakan saman oleh PDRM,” katanya.

Beliau berkata, AADK turut menjalankan pemeriksaan ke atas 21 individu dalam operasi berkenaan, dengan lima lelaki disahkan positif dadah membabitkan empat kes methamphetamine dan satu kes ganja.