Pegawai ICE Amerika tembak mati wanita di Minneapolis

Iklan
Pegawai Jabatan Polis Minneapolis tiba di lokasi kejadian di mana seorang pegawai ICE menembak mati seorang wanita di Minneapolis, Minnesota, pada Rabu. Foto: Agensi

MINNEAPOLIS - Seorang pegawai Perkhidmatan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) menembak mati seorang wanita pada Rabu, mencetuskan kemarahan pemimpin tempatan walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa pegawai tersebut bertindak untuk mempertahankan diri.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey menyifatkan pendirian kerajaan persekutuan itu sebagai tidak masuk akal dan menggesa pegawai ICE yang menjalankan serbuan besar-besaran selama dua hari supaya meninggalkan Minneapolis.

Iklan
Iklan

Satu video kejadian yang tular menunjukkan sebuah SUV Honda dipercayai menghalang kenderaan pegawai terlibat ketika mereka cuba melalui jalan yang dilitupi salji.

Pemandu kenderaan itu, yang menurut datuk bandar berusia 37 tahun, cuba memandu pergi ketika pegawai menghampiri dan cuba membuka pintu.

Iklan

Seorang ejen kemudian melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol ketika kenderaan itu mula bergerak.

Trump, yang telah mengarahkan serbuan anti-pendatang di seluruh negara, menuduh mangsa cuba melanggar pegawai itu secara ganas.

Iklan

Seorang paramedik sukarelawan membantu seorang penunjuk perasaan yang terkena pukulan di muka semasa satu demonstrasi susulan kejadian seorang pegawai ICE menembak mati seorang wanita di Minneapolis. Foto: Agensi

“Wanita yang memandu kereta itu sangat tidak terkawal, menghalang dan melawan,” katanya di platform Truth Social, sambil mendakwa bahawa ejen tersebut kelihatan menembaknya untuk mempertahankan diri.

Ejen persekutuan ICE berada di barisan hadapan kempen pengusiran pendatang oleh pentadbiran Trump, meskipun dibantah oleh pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) melancarkan kempen pengambilan agresif pada musim panas lalu bagi menambah 10,000 ejen ICE kepada pasukan sedia ada seramai 6,000 orang.

Langkah itu mencetuskan kritikan bahawa pegawai baharu di lapangan tidak dilatih secukupnya.

Insiden Rabu itu berlaku ketika protes terhadap penguatkuasaan imigresen berlangsung di selatan bandar Minneapolis, di negeri Minnesota.

“Cubaan melanggar pegawai penguat kuasa undang-undang kami dengan niat untuk membunuh mereka adalah satu perbuatan keganasan domestik,” kata DHS, yang mengendalikan ICE menerusi platform X.

Menurut DHS, seorang pegawai ICE yang bimbang akan keselamatan nyawanya, rakan-rakan penguat kuasa undang-undang serta keselamatan orang awam telah melepaskan tembakan mempertahankan diri.

Tambahnya, suspek yang didakwa terlibat telah terkena tembakan dan meninggal dunia dan pegawai ICE yang cedera dijangka pulih sepenuhnya.

Gabenor Minnesota, Tim Walz menyifatkan reaksi kerajaan persekutuan terhadap insiden itu sebagai propaganda dan berikrar bahawa pihaknya akan memastikan siasatan penuh, adil dan segera dijalankan.

Terdapat besar orang ramai yang melaungkan slogan anti-ICE berkumpul berhampiran lokasi kejadian.

Seorang saksi, Brandon Hewitt, memberitahu saluran berita MS NOW bahawa beliau mendengar tiga das tembakan.

“Saya ada banyak rakaman video ketika mereka membawa mayat ke ambulans. Saya cenderung kepada pandangan kerajaan tetapi melihat perkara ini, ini tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada penyiar itu.

Seorang lagi saksi yang ditemu bual stesen tempatan FOX9 menggambarkan suasana yang mengerikan.

“Penumpang yang terselamat keluar dari kereta dengan badan berlumuran darah,” kata saksi itu.

Beliau juga menceritakan melihat seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor cuba membantu, namun dihalang oleh pegawai keselamatan.

Protes anti-ICE

Terdapat protes besar-besaran terhadap operasi imigresen pentadbiran Trump, yang berikrar untuk menangkap dan mengusir apa yang didakwanya sebagai jutaan pendatang tanpa izin.

DHS menyifatkan keganasan itu sebagai kesan langsung serangan berterusan dan demonisasi terhadap pegawai mereka.

Berhampiran lokasi tembakan, pegawai ICE menyembur semburan lada dan menolak penunjuk perasaan, berdasarkan rakaman yang disiarkan oleh stesen CBS tempatan, WCCO.

Puluhan penunjuk perasaan dan orang awam berada di lokasi selepas kejadian itu.

“Tak kira apa pun yang dilakukan individu ini, tidak mungkin dia layak dibunuh kerana perbuatannya,” kata seorang orang awam kepada penyiar itu.

Trump menjadikan pencegahan imigresen haram dan pengusiran pendatang tanpa dokumen sebagai keutamaan dalam penggal keduanya, serta mengetatkan syarat kemasukan ke AS dan permohonan visa.

Semasa kempen, Trump menyamakan pendatang tanpa izin dengan haiwan dan sering mengaitkan mereka tanpa bukti dengan kegiatan jenayah.

ICE yang dikritik kerana didakwa berubah menjadi pasukan separa tentera di bawah Trump telah ditugaskan untuk mengusir jumlah pendatang tanpa dokumen yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Rumah Putih pimpinan Trump menyifatkan Datuk Bandar Minneapolis, Frey, sebagai tidak bermoral susulan kenyataannya selepas kejadian tembakan itu, di mana beliau menuduh ICE mencetuskan kekacauan dan ketidakpercayaan.

Pihak berkuasa AS berkata sehingga kini 2,000 pegawai telah dikerahkan ke Minneapolis dan kawasan sekitarnya untuk menjalankan operasi imigresen, sebahagiannya susulan dakwaan penipuan terhadap sebahagian penduduk Somalia. - AFP