Bimbang dimarahi kalah judi, wanita buat laporan palsu dakwa disamun

Iklan
Gambar hiasan

BENTONG - Bimbang dimarahi teman lelaki selepas mengalami kerugian RM10,000 akibat kalah judi, seorang wanita warga asing bertindak membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dirinya disamun di hadapan lif sebuah hotel di Genting Highlands pada 6 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam laporannya, suspek berusia 25 tahun mendakwa disamun dua wanita warga asing kira-kira jam 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bertindak atas laporan polis yang dibuat, siasatan kes tersebut segera dilakukan.

"Bagaimanapun hasil siasatan mendapati suspek membuat laporan polis palsu kerana kejadian samun yang dilaporkan itu tidak berlaku berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan

"Hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai telah bermain judi di sebuah pusat perjudian dan mengalami kerugian RM10,000," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Zaiham berkata, suspek memberi alasan membuat laporan polis palsu kononnya disamun bagi mengelak dimarahi teman lelakinya.

Iklan

Katanya lagi, semasa siasatan dilakukan, suspek juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Susulan itu, satu laporan polis dibuat ke atas wanita berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.

Zaiham berkata, jika sabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, wanita tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki pasport yang sah untuk masuk dan tinggal di negara ini.

Sementara itu, Zaiham menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi maklumat yang benar dan tepat serta mengelakkan daripada membuat laporan polis palsu.