Budak 10 tahun ditemui ketakutan, lapar dengan kesan cedera pada badan

Iklan
Kesan cedera pada badan mangsa. Foto ihsan polis

NILAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan ketakutan dan kelaparan di luar sebuah kedai serbaneka di sini pada petang Selasa, dengan kesan kecederaan pada badan dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kanak-kanak terbabit ditemui bersendirian kira-kira jam 5.30 petang oleh seorang penghantar makanan.

Iklan
Iklan

“Pengadu memaklumkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan menggigil, ketakutan serta kelaparan.

"Dia kemudian membawanya ke tempat selamat serta menghubungi pihak polis yang kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk mengesan penjaga mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan.

Kesan cedera pada badan mangsa. Foto ihsan polis

Iklan

Beliau berkata, susulan itu, polis telah menahan ibu kandung dan bapa tiri mangsa yang berusia lingkungan 30-an pada jam 1.58 tengah hari Rabu bagi membantu siasatan.

"Kanak-kanak itu telah dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut juga mendapati bahawa mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 2020, selepas mengalami kecederaan ‘nonaccidental injury’ iaitu berupa kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan," katanya.

Johari berkata, permohonan reman terhadap ibu kandung dan bapa tiri mangsa akan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.

"Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut.

"Orang awam dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya.