KOTA BHARU –Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan melibatkan pemandu perkhidmatan e-hailing di negeri ini.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya mengambil maklum dakwaan yang tular membabitkan beberapa isu termasuk pemandu beroperasi tanpa permit kenderaan e-hailing (EVP), mengenakan bayaran tambahan kepada pengguna serta menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan di bawah syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing.
“Namun setakat ini, kita memang tidak menerima apa-apa pelaporan atau aduan rasmi berkaitan dakwaan isu yang dikatakan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, JPJ sentiasa komited dalam memastikan semua pengendali dan pemandu e-hailing mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan di bawah perundangan sedia ada.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau berdepan sebarang salah laku berkaitan perkhidmatan e-hailing digesa untuk membuat aduan rasmi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang,” katanya.
Ujarnya, JPJ Kelantan turut memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna serta kelancaran industri pengangkutan awam di negeri ini terus terpelihara.
Sebelum ini wujud dakwaan yang mendedahkan masih terdapat pemandu e-hailing dari syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang beroperasi tanpa EVP.
Selain itu, terdapat pemandu e- hailing yang didakwa meminta bayaran tambahan daripada pengguna, walaupun pada awalnya pemandu tersebut menerima tawaran harga tambang yang ditawarkan oleh pengguna.
Tidak cukup dengan itu, terdapat pemandu e-hailing dikatakan menggunakan kenderaan lain, yang mana kenderaan tersebut tidak didaftarkan dibawah EHO.