MELAKA - Tindakan seorang lelaki warga Indonesia menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah membawa padah apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan pada Selasa.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikesan menunggang motosikal milik majikannya dan turut dikenakan enam saman atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans selain beberapa kesalahan teknikal lain.
Penunggang yang bekerja sebagai buruh itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 2 hingga 4.30 petang di kawasan Melaka Raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, motosikal itu antara 11 kenderaan yang disita menerusi Ops Pewa sekitar Melaka bagi memastikan pemandu warga asing mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menurutnya, penunggang motosikal warga asing yang dikenakan tindakan terdiri daripada lapan warga Indonesia, masing-masing seorang warga Myanmar, Bangladesh dan Syria.
“Sebanyak 55 kenderaan telah diperiksa, dengan 11 kenderaan disita serta 43 notis dikeluarkan di bawah akta berkenaan.
“Kenderaan disita membabitkan sembilan motosikal, sebuah Naza Ria dan sebuah kenderaan jenis pikap Mitsubishi Triton atas tiga kesalahan utama iaitu tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing.
“Memberi kebenaran kepada pemandu warga asing untuk menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah merupakan satu kesalahan. Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak bersubahat dalam sebarang bentuk pelanggaran undang-undang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.