[VIDEO] Mayat ditemui di Bengkalis, keluarga harap itu jasad Fadzli

Iklan

BATU PAHAT -"Kami dimaklumkan pihak berkuasa di Bengkalis, Indonesia menemui mayat di kawasan perairan mereka pagi tadi. Saya keluarga reda jika itu jasad abang,"

Demikian luah Mohd Hidayat Mesran, 33, adik kepada nelayan Mohd Fadzli, 41 yang dilaporkan masih hilang di perairan Sungai Dulang, Rengit berhampiran Jeti Sungai Tongkang, Rengit sejak Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Mohd Hidayat yang juga nelayan memberitahu, dia menerima panggilan pada jam 9 pagi, Rabu daripada Maritim Malaysia memaklumkan penemuan mayat oleh pihak berkuasa Bengkalis Indonesia.

Mohd Tauffik (kiri) dan Mohd Hidayat (tengah) akan ke Bengkalis Indonesia untuk membuat pengecaman mayat.

Iklan

"Saya diminta untuk membuat pengecaman mayat di Bengkalis tetapi perlu tunggu arahan daripada pihak berkuasa. Saya dan abang Mohd Tauffik, 35, akan gerak ke Bengkalis.

"Kami harap jasad itu adalah abang kami supaya urusan pengebumian dapat disempurnakan dan keluarga memperoleh kepastian selepas beberapa hari menunggu khabar," katanya ketika ditemui di Jeti Sungai Tongkang di sini, pada Rabu.

Iklan

Jelas Mohd Hidayat, sepanjang lima hari Mohd Fadzli dilaporkan hilang, dia sekeluarga bersama penduduk kampung tidak berputus asa melakukan solat hajat dan bacaan Yasin di jeti.

"Abang Mohd Fadzli mempunyai tujuh orang anak di mana anak sulung Mohd Haikal, 19, belajar akaun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar Perak.

"Sejak abang dilaporkan hilang, anaknya turut menunggu di jeti. Penduduk kampung juga datang ke jeti.

"Abang sangat disenangi penduduk, sering bantu nelayan di Sungai Tongkang termasuk bersama-sama bina jeti pengkalan hadapan di sini," ujarnya.

Mohd Hidayat turut berkongsi pengalaman mencari abangnya bersama komuniti nelayan dan pasukan penyelamat di sekitar perairan Rengit dan Batu Pahat.

"Saya turun ke laut bantu cari abang. Dianggarkan lebih 10 bot nelayan turut sama.

"Keadaan laut yang bergelora dan musim hujan memberi cabaran buat kami. Tetapi kami tidak putus asa dan terus cari abang setiap hari dengan dibantu pasukan penyelamat," ujarnya.

Sebelum itu Mohd Fadzli dan rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, disedari hilang pada pagi Sabtu lalu selepas mereka keluar bersama jam 6 petang Jumaat untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti.

Kedua-dua mereka sepatutnya pulang ke rumah antara jam 9 hingga 10 malam hari sama, namun usaha ahli keluarga menghubungi telefon bimbit Mohd Fadzli dan Mohd Saiful Azli tidak berhasil.

Pada Selasa, mayat Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan seorang nelayan yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di perairan Pantai Sarang Burung pada jam 9.16 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat itu ditemui di lokasi antara Perpat dan Punggur, kira-kira dua kilometer dari bot mangsa yang dijumpai sebelum ini.

Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tersepit pada kayu bakau.