Tiga warga Kemboja dipenjara miliki kayu gaharu secara haram

Iklan
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku.bersalah.dan dijatuhi hukuman.

KUANTAN - Tiga warga Kemboja dihukum penjara sembilan bulan selepas mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan memiliki 16.55 kilogram kayu gaharu secara haram tanpa membayar royalti, premium dan ses hasil hutan, pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Nget Koy, 41, bersama dua rakan senegara, Toek Tan, 49, dan Sin Sor, 60, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kemboja di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Iklan
Iklan

Hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengawal kayu gaharu itu tanpa membayar royalti,premium dan ses hasil hutan di sebuah rumah di Taman Chendor Darat 1 di sini kira-kira jam 11.15 pagi, 13 Oktober tahun lalu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh di bawah Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, mengikut fakta kes dikemukakan, penangkapan tertuduh dibuat pasukan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berdasarkan aduan awam mengenai rumah berkenaan yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses kayu gaharu.

Iklan

Ketika serbuan dilakukan, mereka berada di rumah tersebut sedang membersihkan kayu gaharu atas arahan seorang lelaki iaitu pemilik kayu gaharu tersebut.

Selain kayu gaharu, beberapa barang kes ditemui terdiri empat mesin gergaji, penimbang digital dan peralatan kerja membersih gaharu disita.

Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga tertuduh bekerja untuk seorang individu yang tidak ada di tempat kejadian semasa serbuan dibuat.

Individu terbabit telah dituduh atas kesalahan di bawah seksyen yang sama di mahkamah itu dan telah disabitkan kesalahan serta dijatuhkan hukuman sebelum ini.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan dibantu jurubahasa memohon hukuman ringan atas alasan perlu menyara keluarga.

Bagaimanapun pihak pendakwaan diwakili, Timbalan Pendakwa RayaJabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.