Saifuddin dakwa proses tidak adil, fail rayuan selepas dipecat Bersatu

Iklan
Saifuddin Abdullah

KUANTAN - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam masa terdekat susulan pemecatan beliau daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengesahkan pemecatan itu selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti tersebut pada Selasa.

Iklan
Iklan

Tegas Saifuddin, keputusan tersebut dibuat tanpa memenuhi prinsip perbicaraan adil dan beliau menilai pemecatannya sebagai tidak wajar.

“Saya menerima notis pemecatan keahlian Bersatu daripada lembaga disiplin atas alasan ringkas iaitu kerana tindakan saya didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Iklan

“Saya akan mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, Saifuddin memaklumkan beliau telah menghadiri sesi perjumpaan bersama ahli jawatankuasa lembaga disiplin di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya selepas menerima aduan disiplin berkaitan kenyataan yang didakwa mencemarkan imej parti dan pemimpin, termasuk Presiden.

Iklan

“Perjumpaan itu dihadiri tiga ahli jawatankuasa lembaga disiplin, iaitu Datuk Mohammed Radzi Manan (Pengerusi), Sasha Lyna Abdul Latif (AJK) dan Mohd Razlan Jalaludin (AJK),” jelasnya.

Beliau menegaskan, semasa sesi itu beliau telah mengemukakan tuntutan agar dua AJK menarik diri daripada kesnya kerana mempunyai konflik kepentingan. Mohammed Radzi merupakan bapa mertua kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan ayah kepada Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin, manakala Sasha Lyna bekerja di bawah Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, kewujudan hubungan ini menjejaskan ketelusan dan kebebasan prosiding.

Selain itu, beliau turut meminta pendedahan nama pihak yang menyiasat dan membuat pendakwaan bagi memastikan peranan berbeza dalam siasatan, pendakwaan dan keputusan.

Bagaimanapun, lembaga disiplin memaklumkan bahawa ketiga-tiga peranan itu dipegang oleh pihak yang sama, yang menurut Saifuddin bercanggah dengan prinsip keadilan semula jadi dan perbicaraan adil.

Beliau menjelaskan bahawa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipanggil memberi penjelasan berhubung tuduhan bahawa beliau mencadangkan Presiden meletakkan jawatan.

“Lembaga disiplin hanya boleh membuat keputusan terhadap pertuduhan ke atas saya selepas meneliti keterangan Presiden berkaitan isu-isu tertentu yang saya bangkitkan.

"Namun, tiada maklum balas diberikan oleh lembaga disiplin," katanya.

Susulan itu, Saifuddin memohon agar satu sesi perjumpaan baharu diadakan dengan syarat tuntutannya dipenuhi dan beliau bersedia memberi kerjasama penuh.

Menurutnya, sehingga pemecatannya pada Selasa, beliau mendakwa tidak menerima sebarang makluman lanjut daripada lembaga disiplin.

“Saya percaya mana-mana ahli berhak mendapat perbicaraan yang adil dan telus selaras dengan prinsip keadilan semula jadi,” tambahnya.

Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam dan luar parti, termasuk ahli Bersatu serta Perikatan Nasional, yang menghubunginya bagi menyatakan sokongan sejak berita pemecatan tersebar.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Bersatu telah memecat ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Saifuddin dan perkara itu disahkan Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham.

“Ya, betul (pemecatan itu). Ini kerana beliau sebelum ini pernah secara terbuka mengkritik Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Beliau telah diberi peluang untuk membela diri dan mesyuarat lembaga disiplin yang bermesyuarat semalam telah memutuskan pemecatan beliau,” katanya.